zaky@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Saham British American Tobacco (Malaysia) Bhd (BAT) susut susulan pengumuman Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berhubung cadangan perundangan kerajaan untuk tidak menjual produk tembakau kepada individu yang lahir selepas 2005.
Pada penutup dagangan tengah hari tadi, saham BAT susut 10 sen kepada RM12.80 sesaham dengan 108,300 unit saham bertukar tangan.
Berdasarkan harga saham RM12.80, BAT memiliki nilai pasaran kira-kira RM3.65 bilion merangkumi 285.53 juta saham terbitannya.
Dalam ucapan intervensi pada Mesyuarat Lembaga Eksekutif Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Sesi ke-150 di Geneva, Switzerland, Khairy menyatakan komitmen untuk melaksanakan undang-undang melarang penjualan tembakau dan produk rokok lain kepada sesiapa yang dilahirkan selepas tahun 2005.
“Seperti beberapa Pejabat Serantau bagi Pasifik Barat (WPRO) di negara lain, Malaysia berharap untuk meluluskan satu undang-undang pada tahun ini yang akan membawa kepada generasi tidak merokok.
“Ia dengan melarang penjualan tembakau dan produk rokok lain kepada sesiapa yang dilahirkan selepas 2005 dan Malaysia merasakan ia memberi impak besar dalam mencegah dan mengawal Penyakit Tidak Berjangkit (NCD),” katanya.
Menurut Khairy, pelaksanaan itu kerana ia memberi panduan penting tentang program negara masing-masing dalam mencapai matlamat berkaitan NCD.
“Satu daripada pengajaran utama dipelajari dalam menguruskan pandemik COVID-19 ialah keberkesanan pendekatan seluruh negara.
“Begitu juga dalam mencegah dan mengawal NCD, kita memerlukan pendekatan menyeluruh di peringkat nasional dan subnasional dengan kerjasama pelbagai pihak melibatkan kerajaan, masyarakat sivil, sektor swasta dan masyarakat tempatan,” katanya.
Khairy berkata, Malaysia ingin menyokong laporan mengenai deklarasi politik berkaitan pencegahan dan kawalan NCD.
“Walaupun adalah luar biasa untuk meletakkan begitu banyak sub-item agenda di bawah satu perkara, terutama apabila NCD menyumbang kepada beban penyakit terbesar dunia, Malaysia memperakui masa yang diperuntukkan untuk membincangkan perkara penting itu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd