Sabah waspada kunjungan Kuching City di Likas

Sabah waspada kunjungan Kuching City di Likas

sukan@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Sabah FC tidak memandang rendah kunjungan Kuching City FC dalam aksi kedua suku akhir Piala Malaysia di Stadium Likas, di sini, malam ini.

Pengendalinya, Martin Stano, mengakui kelebihan hanya satu gol selepas menewaskan pasukan jiran itu 1-0 pada aksi pertama sebelum ini bukan bekalan yang kukuh bagi pasukannya.

Katanya, apa saja boleh berlaku pada malam ini, namun beliau meletakkan kepercayaan penuh kepada pemain Sang Badak untuk mencatatkan keputusan positif.

“Berbekalkan kelebihan satu gol macam-macam boleh berlaku, tapi Sabah FC menjalani latihan mingguan seperti biasa.

“Kita mempunyai masa yang cukup untuk pulih daripada perlawanan lalu bagi memastikan kita mencatat keputusan yang positif malam ini,” katanya mengulas persiapan Sabah menghadapi aksi kedua suku akhir Piala Malaysia.

Stano berkata, kehadiran semula semua pemain kebangsaan menyuntik semangat untuk memastikan Sabah FC mampu menewaskan Kuching City, malam ini.

Katanya, sandaran penting Sabah FC yang membarisi skuad Harimau Malaya, Dominic Tan, Daniel Ting, Stuart Wilkin dan Darren Lok dijangka diturunkan malam ini.

Beliau turut meletakkan kelebihan bermain di gelanggang sendiri bagi mengatasi Kuching City menerusi suntikan semangat dan motivasi yang ditunjukkan penyokong setia Sabah FC.

“Kita akan mempamerkan kualiti permainan yang terbaik dan fokus mencapai keputusan positif di Stadium Likas.

“Kita mahu penyokong setia turun beramai-ramai memberikan sokongan padu untuk memastikan Sabah dapat melangkah ke peringkat separuh akhir,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top