Sabah, Terengganu sama kuat

Sabah, Terengganu sama kuat

sukan@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Sabah FC dan Terengganu FC terpaksa akur berkongsi satu mata selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Likas, di sini, sebentar tadi.

Jaringan tunggal kedua-dua pasukan terhasil pada babak pertama dengan didahului tuan rumah menerusi penyerang baharunya, Joao Pedro Boeura Duarte pada minit kesembilan.

Jaringan penyamaan Terengganu pula dihadiahkan Ismaheel Akinade pada masa tambahan separuh masa pertama untuk meletakkan kedua-dua pasukan terikat 1-1.

Kedudukan itu kemudiannya berlanjutan sehingga tamat 90 minit perlawanan, termasuk empat minit waktu kecederaan diberikan pengadil.

Pada babak pertama, selepas mendahului jaringan pada minit kesembilan, Sabah mendapat suntikan untuk terus menambah jaringan namun dinafikan pasukan pelawat.

Sebaliknya, pasukan pelawat membuat kejutan apabila mencipta gol penyamaan sejurus masa tambahan lima minit diberikan pengadil pada separuh masa pertama.

Gol Akinade itu gagal dibaca dengan baik penjaga gol Sabah, Damien Lim menyebabkan gawang tuan rumah bolos.

Beralih ke separuh masa kedua, kedua-dua pasukan kelihatan bermain lebih agresif dalam usaha mendapatkan gol tambahan bagi memintas lawan masing-masing.

Sabah bagaimanapun berjaya mendapat beberapa peluang baik khususnya pada minit ke-60 dan ke-63 oleh Muhammad Jafri Chew, namun sepakan yang kurang kemas menyebabkan bola gagal menepati sasaran, selain mudah dipatahkan penjaga gol lawan.

Pasukan Terengganu yang mendapat lebih banyak peluang melakukan serangan juga tidak berjaya menambah gol berikutan kekebalan pertahanan Sabah sekali gus mengekalkan kedudukan 1-1 sehingga ke wisel penamat.

© New Straits Times Press (M) Bhd