am@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Sabah memerlukan 7,000 doktor bagi mencapai nisbah seorang doktor bagi setiap 500 penduduk seperti disarankan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob berkata, ketika ini, hanya ada 554 doktor pakar dan 1,951 pegawai perubatan di Sabah.
“Kalau sekarang ini, dengan jumlah itu, satu doktor jaga 1,400 orang. Untuk mencapai nisbah satu doktor 500 orang mengikut WHO kita perlu 7,000 doktor di Sabah,” katanya ketika membahaskan Belanjawan Sabah 2025 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, semalam.
Dr Yusof yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) – Pakatan Harapan (PH) Plus berkata, bilangan doktor yang berkhidmat di Sabah ketika ini juga belum memenuhi jumlah perjawatan yang ditawarkan.
Katanya, jawatan doktor pakar yang disediakan di Sabah ialah sebanyak 620 perjawatan tetapi yang diisi cuma 554 orang, iaitu kekosongan seramai 66 orang.
Menurutnya, bagi jawatan Pegawai Perubatan, ada sebanyak 2,375 perjawatan disediakan, namun hanya 1,951 yang diisi.
“Kalau ikut di Sabah dengan jumlah perjawatan yang ada, iaitu 2,995 untuk merawat 3.5 juta orang, jadi ertinya satu orang doktor untuk 1,100 orang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd