Sabah kembali kelompok tiga teratas Liga Super

Sabah kembali kelompok tiga teratas Liga Super
Sabah kembali kelompok tiga teratas Liga Super

Dominic Tan pastikan tiga mata milik Sabah di Likas. Foto: MFL

KELAB kepulauan Borneo, Sabah FC kembali memperkukuhkan kedudukan kelompok tiga terbaik Liga Super selepas menjinakkan PDRM FC, 1-0 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Likas pada Selasa.

Tiga mata diraih The Rhinos membolehkan pasukan itu mengumpul 39 mata memintas semula Kuching City FC (36 mata) selepas kedua-dua pasukan mengharungi 22 perlawanan sekali gus menyalakan slot ke saingan Kejuaraan Kelab ASEAN musim depan.

Anak buah Eddy Gapil yang menampilkan Faith Obilor sebagai kapten pasukan yang masih segar kemenangan 2-1 ke atas Negeri Sembilan FC dalam perlawanan terakhir, kali ini turun tanpa kelibat mesin gol Ifedayo Olusegun dalam kesebelasan utama.

Sementara itu, anak buah Martin Stano yang berjaya membawa pulang satu mata selepas mengikat Terengganu FC, 2-2 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin sebelum ini ternyata memanfaatkan kelebihan bermain di laman sendiri.

Kapten The Rhinos, Dominic Tan muncul wira pasukan tuan rumah apabila menjelmakan gol pada minit ke-42

menewaskan penjaga gol PDRM FC, Hakeem Hamidin.

Sabah berpeluang melebarkan jaringan, namun sentuhan Saddil Ramdani dinafikan video bantuan pengadil (VAR) untuk keputusan satu jaringan kekal dalam perlawanan tersebut.

Sabah selepas ini akan berdepan Kedah Darul Aman FC di Alor Setar (12 April) sebelum melabuh saingan musim ini melayan kunjungan Perak FC di Likas pada 20 April.

PDRM pula akan melayan Terengganu FC di Selayang (12 April) sebelum menutup kempen 2024/25 menentang Selangor FC di Petaling Jaya pada 19 April.

Sementara itu, Sri Pahang berpesta gol menewaskan Kedah, 6-0 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh.

Tiga mata diraih anak buah Fandi Ahmad menyaksikan mengumpul 23 mata manakala Kedah bimbingan Victor Andrag pula kekal 20 mata selepas masing-masing mengharungi 22 perlawanan.

Pahang selepas ini akan berdepan Perak di Manjung (12 April) diikuti Penang FC di Temerloh (19 April), manakala Kedah menutup tirai berdepan Terengganu di laman lawan (20 April).

Scroll to Top