
Amirul Hisham ( kanan) bantu KDA FC raih satu mata ke atas Sabah FC pada aksi Liga Super pada malam Sabtu di Alor Setar. – Foto: KDA FC
SABAH FC hampir dikejutkan oleh Kedah Darul Aman (KDA) FC dalam aksi Liga Super 2024/2025 apabila terpaksa bangkit daripada ketinggalan untuk mencatat keputusan seri 1-1 di Stadium Darul Aman, malam Sabtu.
Beraksi di tempat lawan, Sabah FC turun dengan misi memburu tiga mata penuh bagi mengukuhkan kedudukan di tangga ketiga liga. Namun, aksi dimulakan dengan tekanan hebat daripada skuad tuan rumah yang berazam mengekalkan kemenangan di gelanggang sendiri.
Seawal minit ke-16, Kedah dihadiahkan sepakan penalti selepas berlaku kekasaran dalam kotak penalti pasukan pelawat.
Amirul Hisyam Awang Kechik yang diberi tanggungjawab mengambil sepakan itu tidak mensia-siakan peluang dan meletakkan Sang Kenari di hadapan 1-0.
Gol tersebut memberikan momentum kepada KDA FC yang terus melancarkan beberapa siri serangan berbahaya. Bagaimanapun, ketangkasan benteng pertahanan Sabah berjaya mematahkan cubaan untuk menambah jaringan.
Memasuki babak kedua, Sang Badak meningkatkan tempo permainan dengan beberapa percubaan berbahaya bagi memburu gol penyamaan.
Usaha mereka akhirnya berhasil pada minit ke-61 apabila Darren Lok menjaringkan gol untuk menyamakan kedudukan 1-1, sekaligus menghidupkan kembali harapan Sabah untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata dari Alor Setar.
Kedua-dua pasukan terus saling berbalas serangan sehingga wisel penamat, namun tiada jaringan tambahan berjaya dihasilkan.
Keputusan seri ini menyaksikan Sabah dan Kedah masing-masing membawa pulang satu mata.