sukan@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) menyerahkan kepada pengurusan Sabah FC untuk melantik ‘caretaker’ atau jurulatih sementara bagi mengendalikan skuad Sang Badak.
Ia berikutan keputusan mengejut Datuk Ong Kim Swee menamatkan kontrak sebagai Ketua Jurulatih pasukan itu yang dimaklumkan menerusi satu kenyataan media, hari ini.
Presiden SAFA, Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata pelantikan ‘caretaker’ itu akan diputuskan pada mesyuarat pengurusan Sabah FC dalam masa terdekat.
Katanya, setakat ini belum ada nama pengganti dicadangkan kepada Sabah FC bagi mengambil alih tugas yang ditinggalkan Kim Swee, namun seorang ‘caretaker’ bakal dilantik.
“Belum ada (pengganti) dan akan dilantik ‘caretaker’ buat sementara waktu dalam masa terdekat selepas pengurusan Sabah FC bermesyuarat kelak,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau diminta mengulas keputusan mengejut Kim Swee tidak meneruskan khidmat bersama Sabah FC apabila tempoh kontraknya tamat akhir bulan ini.
Sebelum ini, Kim Swee ditawarkan tambahan kontrak hingga tamat aksi Liga Super musim ini seperti dipersetujui SAFA dan Sabah FC.
Ketika ini Sabah FC tiada Penolong Jurulatih selepas penyandang tugas itu sebelum ini, Alto Linus dilantik sebagai Ketua Jurulatih Sabah FC II.
Shahelmey yang juga Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Kerja Raya Sabah, berkata SAFA menerima keputusan yang dibuat Kim Swee itu walaupun sebelum ini menawarkan agar beliau terus bersama Sabah.
Menerusi kenyataan medianya pagi tadi, Kim Swee berkata beliau memilih haluan berbeza dan perlawanan pertama Pusingan 16, Piala Malaysia menentang PT Athletic di Kuala Lumpur, Sabtu ini adalah tugasnya terakhirnya bersama Sabah FC.
“Dengan rasa berat hati, saya memutuskan untuk memilih haluan berbeza dengan tidak meneruskan tugasan saya sebagai Ketua Jurulatih Sabah FC apabila kontrak saya tamat pada November 2024.
“Tugasan terakhir saya adalah perlawanan menentang PT Athletic pada 23 November 2024. Selama 36 bulan bersama Sabah FC bukanlah satu jangka masa yang singkat dan perjalanan ini amat luar biasa.
“Saya sangat bersyukur diberi peluang untuk memimpin kelab bola sepak yang hebat ini,” katanya.
Kim Swee bagaimanapun tidak menjelaskan punca beliau tidak meneruskan kontrak bersama Sabah FC atau apa perancangannya selepas ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd