am@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Sabah Electricity kerugian kira-kira RM30 juta setahun akibat penyambungan haram elektrik yang masih berlaku di negeri itu.
Menerusi satu kenyataan, di sini, syarikat utiliti bagi Sabah dan Labuan itu berkata, kerugian berkenaan mewakili kira-kira dua peratus daripada kehilangan tenaga dalam sistem grid.
Sejajar dengan itu, katanya usaha membanteras penyambungan elektrik secara haram terus menjadi tumpuan syarikat itu dalam usaha mengukuhkan bekalan elektrik di Sabah pada tahun ini.
“Sabah Electricity bertekad untuk meneruskan momentum dalam membanteras sambungan haram di seluruh Sabah.
“Berdasarkan statistik pada 2024, sebanyak 1,000 operasi dilaksanakan, masing-masing 200 Op Bersepadu dan 800 lagi Op Dalaman.
“Dianggarkan kadar ‘System Loss’ yang berpunca daripada sambungan haram adalah dua peratus bersamaan dengan RM30 juta kerugian setahun,” kata kenyataan itu.
Terbaharu katanya, Sabah Electricity bersama beberapa agensi luar melancarkan satu Operasi Bersepadu membanteras kegiatan sambungan haram pada 18 Februari lalu di sekitar ibu negeri.
Antara agensi yang terbabit ialah Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Jabatan Imigresen dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).
Operasi itu turut disertai sendiri pihak pengurusan Sabah Electricity yang diketuai Ketua Pegawai Operasinya, Ir Mohd Yusmanizam Mohd Yusof.
Sepanjang operasi itu, kira-kira 50 rumah dikesan memiliki penyambungan haram bagi mendapatkan bekalan elektrik secara tidak sah.
Katanya, Op Bersepadu itu turut merampas kira-kira 800 kilogram wayar aluminium yang digunakan untuk penyambungan haram.
“Kegiatan itu katanya adalah satu jenayah yang boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 61 (3) Enakmen Bekalan Elektrik dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd