am@hmetro.com.my
Ipoh: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Saarani Mohamad menasihati Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri supaya setia kepada parti keramat itu.
Saarani yang juga Menteri Besar Perak berkata, budaya ahli politik bertukar parti dalam Kerajaan Perpaduan tidak boleh dibiarkan kerana hanya akan menimbulkan rasa curiga dan hilang percaya antara parti komponen.
“Untuk tujuan jangka masa panjang, (budaya ahli politik bertukar parti) bagi mana-mana gabungan tak baik.
“Saya bukan sahaja rujuk Tengku Zafrul, tetapi kepada sesiapa sahaja. Oleh sebab itu, saya bersetuju apabila Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebut elakkan daripada membenarkan ahli sesama gabungan meninggalkan parti dan masuk parti lain.
“Yang ini (isu Tengku Zafrul) kita kata daripada Umno nak masuk PKR. Kemungkinan selepas ini ada (ahli) PKR nak masuk Umno.
“Jadi kedua-duanya tak cantik. Kepada ahli parti, bersetialah kepada satu-satu parti,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi Perak di sini, hari ini.
Saarani berkata, jika dibenarkan berlaku ahli politik bertukar parti, ia akan menjadi suatu isyarat yang salah kepada generasi muda.
Semalam, Tengku Zafrul mengakui ada menyertai perbincangan dengan PKR, namun belum membuat keputusan berhubung penyertaannya dalam parti itu.
Tengku Zafrul yang juga Ahli MKT Umno itu bagaimanapun berkata, perbincangan berkenaan tidak membabitkan jawatan di peringkat negeri mahupun pilihan raya kecil.
Ahmad Zahid pula dilaporkan memberi amaran supaya semua parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan perlu mengelak daripada ‘mencuri’ ahli atau pemimpin parti lain dalam gabungan itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd