Personaliti TikTok, Ryan Bakery mengakui kurang mesra dengan segelintir pihak kerana mengambil sikap berhati-hati selepas mengalami kes penipuan dianggarkan sekitar ratus ribu ringgit.
Menurut laporan Harian Metro, pemilik nama lengkap Muhammad Ryan Fahmi Bakery itu berkata, dia terpaksa mengambil pendekatan itu disebabkan tidak mahu menjadi mangsa penipuan lagi.
“Saya minta maaf kepada pihak media atau mana-mana pihak yang terasa dengan saya. Malah, ada yang menyifatkan saya sebagai sombong kerana sikap yang terlalu berhati-hati ini.
“Berasal dari kampung dan secara tiba-tiba menjadi orang yang dikenali, saya memang terkejut sangat. Malah, saya cuba sebaik mungkin untuk membiasakan diri dengan keadaan dan situasi ini.
“Apatah lagi, saya pernah ditipu beberapa kali sehingga hampir mencecah ratusan ringgit. Ia masih baru berlaku dan menjadikan saya takut dan terlalu berhati-hati,” kata personaliti berusia 27 tahun itu.
Sementara itu, dia turut mendedahkan kes penipuan pernah terjadi antaranya pembikinan video yang tidak dibayar dan beberapa lagi.
“Sebenarnya saya tidak mahu peristiwa yang sama berulang lagi. Namun, tak sangka pula tindakan saya itu membuatkan ada yang kurang senang pula.
“Apa yang berlaku saya jadikan sebagai pengajaran,” ujarnya yang mempunyai 3.2 juta pengikut di aplikasi TikTok.
Ryan berkata demikian pada majlis sidang media pengumuman Top 5 acara Gempak Most Wanted Awards 2022 (GMWA 2022) baru-baru ini.
Untuk rekod, personaliti berasal dari Perak itu terkenal dengan penghasilan video pendek memaparkan zaman 90-an sehingga mengimbau memori zaman kanak-kanak.
Sumber: Harian Metro (Zaara Talita) , Instagram Ryan Bakery