RUU Mufti Wilayah Persekutuan usaha murni demi kesatuan ummah

RUU Mufti Wilayah Persekutuan usaha murni demi kesatuan ummah

saufi@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan bukan bentuk eksklusif dalam beragama dan tidak bersifat sektarian.

Muftinya, Prof Madya Datuk Dr Luqman Abdullah berkata, wujud dakwaan sebahagian pihak bahawa RUU ini bersifat sektarian hingga memecahkan keharmonian serta perpaduan dalam masyarakat.

Menurutnya, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan (JMWP) menyatakan rasa dukacita atas polemik yang timbul ekoran penggubalan RUU Mufti Wilayah-wilayah Persekutuan 2024.

“Hakikatnya, ia adalah satu bentuk usaha pemerkasaan suatu manhaj yang jelas dan berstruktur.

“Hal ini penting bagi mempersiapkan umat Islam dalam mengharungi era globalisasi yang semakin terdedah kepada aliran ajaran sesat yang pelbagai dan kekeliruan dalam penghayatan Islam.

“Oleh itu, penggubalan RUU ini adalah usaha murni yang selaras dengan dasar kerajaan menekankan kemajuan dan ketamadunan dalam masyarakat berdasarkan ilmu pengetahuan dan khazanah tradisi Islam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, negara ini adalah majoriti umat Islam yang berpegang dengan pegangan aliran al-Asya’irah dan al-Maturidiyah (ASWJ) yang mula bertapak dan sudah dipegang oleh masyarakat Islam sedunia khususnya di Alam Melayu sejak zaman berzaman.

Katanya, pegangan al-Asya’irah dan al-Maturidiyah diyakini membawa keharmonian dan kesatuan ummah dalam beragama daripada sudut memberi pengukuhan kefahaman Islam, kesepaduan ilmu, membentuk jati diri Islam, kesepakatan fikrah yang keselarasan dalam pengamalan agama dan keilmuan ulama dan masyarakat di rantau ini.

“Apa yang lebih menyedihkan, terdapat juga tindakan oleh sesetengah pihak yang membuat dakwaan melulu dan tidak berasas sehingga melanggar batas etika dan adab dalam membahaskan isu ini termasuk terhadap Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

“Sehubungan itu, JMWP menyeru semua pihak agar berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan dan dakwaan yang tidak berasaskan fakta sebenar khususnya kenyataan yang dilihat dengan sengaja cuba merendahkan kehormatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan institusi pentadbiran Islam di negara ini,” katanya

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top