Russia ‘balas dendam’, haramkan 81 media EU

Russia ‘balas dendam’, haramkan 81 media EU

MOSCOW: Russia mengharamkan 81 agensi media dari negara Kesatuan Eropah (EU) sebagai tindak balas kepada larangan penyiaran yang dikenakan terhadap beberapa agensi media negara oleh Brussels, bulan lalu.

Kementerian Luar Russia berkata, pihaknya mahu menyekat akses agensi media yang ‘secara sistematik menyebarkan maklumat palsu mengenai perkembangan’ pencerobohan Russia terhadap Ukraine.

“Pihak Russia berulang kali memberi amaran mengenai gangguan yang bermotifkan politik daripada wartawan dalam negeri dan larangan tanpa sebab terhadap media Russia di EU,” katanya menerusi kenyataan akhbar, Selasa lalu.

Mei lalu, blok 27 negara anggota EU itu melarang penyiaran empat agensi media Russia, yang didakwa menjadi ejen penyebaran propaganda mengenai perang di Ukraine.

Kementerian itu turut menyalahkan kepemimpinan EU atas peningkatan tersebut dan menyifatkan larangan sebagai ‘berkadar’.

Agensi-agensi berita itu berasal dari 25 negara Eropah dan termasuk media pan-Eropah seperti Politico. 

Media dari Perancis adalah yang paling banyak disasarkan, dengan sembilan larangan menjejaskan agensi berita global termasuk Agence France-Presse (AFP) serta surat khabar Le Monde dan Liberation.

Beberapa media terkenal lain yang turut dilarang termasuk Der Spiegel dari Jerman, El Pais dan El Mundo dari Sepanyol, Yle dari Finland, penyiar nasional Ireland RTE serta saluran televisyen RAI dan surat khabar la Repubblica dari Itali.

Moscow berkata, negaranya terbuka untuk membatalkan larangan itu sekiranya sekatan terhadap media Russia ditarik balik.

Bulan lalu, EU melabelkan Voice of Europe, agensi berita RIA dan akhbar Izvestia dan Rossiyskaya Gazeta sebagai ‘rangkaian propaganda berkaitan Kremlin’ serta melucutkan hak penyiaran mereka dalam blok itu.- AGENSI