mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pemandu Mercedes-AMG Petronas Formula 1 (F1) George Russell bersedia untuk mencabar Max Verstappen walaupun pencabarnya itu sudah bergelar juara empat kali berturut-turut.
Russell berkata, walaupun Verstappen agak sukar ditewaskan namun tiada pelumba yang akan terus kekal memegang takhta berkenaan dalam tempoh yang agak lama.
Beliau berkata, menerusi kombinasi jentera yang mantap dan kerjasama rakan sepasukan lain sudah pastinya dominasi Verstappen dapat ditamatkan pada musim depan.
“Kita dapat lihat musim ini, dalam tujuh perlumbaan pertama, dia memenangi enam daripadanya. Mungkin dia sepatutnya memenangi kesemua tujuh tanpa DNF (Did Not Finish) di Australia. Tanpa ragu, dia adalah penanda aras dalam Formula Satu ketika ini.
“Namun, jika kita lihat kepada 10 hingga 12 perlumbaan terakhir yang sudah kami lalui, dia hanya memenangi satu perlumbaan. Jadi, itu tidak bermakna dia tidak boleh ditewaskan.
“Jika musim ini bermula di Austria, dia mungkin tidak akan menjadi juara dunia. Jadi, kami sebagai pemandu akhirnya semua bergantung pada kereta perlumbaan kami.
“Setiap kali saya menamatkan perlumbaan di tempat pertama, 75% daripada masa itu, rakan sepasukan saya berada di tempat kedua, jadi itu menunjukkan prestasi kereta lebih baik daripada semua orang. Ini adalah sifat semula jadi dalam perlumbaan,” katanya dalam sesi temubual secara atas talian, semalam.
Sementara itu, Russell berkata, dia bersedia untuk mengambil alih peranan sebagai pemandu utama selepas ketiadaan Lewis Hamilton yang berhijrah ke Ferrari pada musim depan.
“Kejayaan yang dicapai pasukan bersama Lewis sangat luar biasa dan kami mencapai banyak perkara bersama. Namun, saya rasa perubahan ini diperlukan untuk Lewis… Tahun depan akan sangat mengujakan,”katanya.
Selain itu, Russell menegaskan bahawa pasukan kini sudah melihat lebih jauh dari tahun depan kerana F1 sedang bersedia untuk perubahan peraturan besar pada 2026, termasuk perubahan dalam reka bentuk kereta, unit kuasa, peraturan kewangan dan penggunaan bahan api 100 peratus lestari.
“Pada 2022, kami melihat perubahan peraturan besar yang hanya fokus pada jentera, manakala pada 2014, ia membabitkan enjin.
“Namun, pada 2026, akan berlaku perubahan besar pada kedua-dua kereta dan enjin, menjadikannya fokus kritikal bermula 1 Januari depan dan seterusnya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd