
Salah seorang askar upahan rakyat China didakwa direkrut Rusia untuk bertempur di Ukraine. Foto Agensi
KIEV – Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy, pada Rabu mendakwa bahawa risikan negaranya mengesan seramai 155 warga China dipercayai menjadi askar upahan yang menyertai operasi ketenteraan Rusia di Kiev.
Pendedahan itu dibuat susulan penahanan dua individu dari Asia Timur di wilayah timur Ukraine, lokasi yang kini menyaksikan kemaraan pasukan tentera Rusia.
Menurut Zelenskyy, Moscow dipercayai merekrut warga China melalui media sosial. Senarai nama, butiran maklumat peribadi dan unit tentera yang mereka sertai telah berjaya diperoleh oleh Perkhidmatan Keselamatan Ukraine (SBU).
“Ini adalah satu situasi yang membimbangkan. Kami bersedia melakukan pertukaran tahanan membabitkan askar Ukraine yang ditahan pihak musuh,” katanya.
Bagaimanapun, dakwaan tersebut segera dinafikan oleh Kementerian Luar China yang menyifatkannya sebagai tuduhan tidak berasas.
“Kiev seharusnya memberi perhatian kepada usaha dan peranan konstruktif Beijing dalam mencapai penyelesaian politik terhadap krisis Ukraine.
“Kami sedang mengesahkan dakwaan tersebut, namun ingin menegaskan bahawa kerajaan kami melarang rakyat China daripada terlibat dalam konflik bersenjata pihak lain,” tegas jurucakapnya, Lin Jian. – AFP