Rumah tokoh pejuang kemerdekaan tarikan pelancong di pekan Papan

Rumah tokoh pejuang kemerdekaan tarikan pelancong di pekan Papan

BATU GAJAH: Selain Rumah Besar Raja Billah, sebuah lagi rumah warisan milik seorang tokoh yang banyak berjasa kepada masyarakat semasa zaman Jepun di pekan Papan di sini dipasang papan tanda maklumat untuk kemudahan pelancong.

Rumah tersebut milik Sybil Medan Daly, iaitu seorang jururawat berketurunan Serani-Eurasian dan suaminya, Dr. Abdon Clement Kathigasu yang mempertaruhkan nyawa mereka membekalkan ubat, merawat dan bantuan kewangan kepada masyarakat ketika penaklukan Jepun sekitar tahun 1940-an.

Sybil meninggal dunia di Hospital St. Mary di Scotland pada 12 Jun 1948 dan jasadnya dibawa pulang ke Ipoh pada Januari 1949 dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Gereja St. Michael di Ipoh bersebelahan pusara ibunya.

Presiden Persatuan Warisan Perak, Mohd Tajuddin Mohd Tahir berkata, pemasangan papan tanda di rumah Sybil Kathigasu itu untuk memudahkan pelancong dan masyarakat setempat memperoleh maklumat mengenai tapak warisan bersejarah tersebut.

Menurutnya, Sybil Kathigasu merupakan seorang pejuang kemerdekaan kerana menyelamatkan banyak nyawa masyarakat setempat ketika penjajahan Jepun, namun tiada papan tanda untuk memberi rujukan kepada pengunjung mengenai rumah yang pernah didiami oleh mendiang.

“Pemasangan papan tanda ini adalah kesinambungan daripada pemasangan papan tanda di Rumah Besar Raja Billah di pekan Papan yang dilakukan sebelum ini.

“Ia diharap dapat menarik lebih ramai pelancong untuk mengunjungi dan menghargai sumbangan besar Sybil Kathigasu dalam perjuangan kemerdekaan negara,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, pemasangan papan tanda ini turut melibatkan kerjasama Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG), Geopark Lembah Kinta, Areca Book, dan Persatuan Kumpulan Sejarah Malaya (MHG).

“Pemasangan papan tanda ini, memudahkan pengunjung tempatan atau dari luar negara mengetahui latar belakang kediaman tersebut.

“Ia juga berpotensi menjadi pemangkin terhadap pelestarian pekan Papan sebagai tarikan pelancongan utama di Perak,” katanya.

Sementara itu, penjaga rumah tersebut, Law Siak Hong, 74, berkata, kediaman Sybil Kathigasu merupakan antara tarikan utama pengunjung di pekan Papan.

Siak Hong yang telah menjaga rumah itu selama 22 tahun berkata, bangunan itu kini tidak selamat untuk dimasuki kerana beberapa bahagian atap telah roboh dan memerlukan baik pulih  yang menelan belanja besar.

“Saya pernah membuat kerja baik pulih rumah ini dengan kos RM60,000 menggunakan wang simpanan sendiri. Jika mahu membuat baik piluh semula ia mungkin mencecah ratusan ribu ringgit.

“Namun, semasa kerja-kerja baik pulih, ia perlu dilakukan berhati-hati agar nilai sejarah bangunan ini tidak terjejas,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top