am@hmetro.com.my
Bintulu: Sebelas keluarga dari rumah panjang Tuai Rumah Beji Utek di Sebauh, tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman berkenaan musnah dalam kebakaran, malam tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Sarawak berkata, kebakaran memusnahkan keseluruhan struktur bangunan rumah panjang tradisional kaum Iban, jenis tidak kekal itu.
“Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran pada 10.58 malam,” ujarnya.
Setakat ini katanya, kebakaran yang berlaku tidak mendatangkan kecederaan atau kemalangan jiwa kerana semua penghuninya berjaya keluar lari menyelamatkan diri.
Menurutnya, pasukan bomba dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bergerak ke lokasi kejadian awal pagi ini nanti kerana mengambil kira akan aspek keselamatan
“Ini kerana untuk sampai rumah panjang, pasukan bomba terpaksa melalui jalan kayu balak dan ladang sawit yang mengambil masa tiga jam perjalanan dari Bandar Bintulu,” jelas beliau.
Tambahan pula katanya, keadaan jalan yang agak gelap dan licin menyebabkan tidak selamat untuk dilalui kenderaan khususnya pada waktu malam.
Difahamkan, kesemua mangsa terjejas kini berteduh sementara di rumah saudara berhampiran sementara menunggu bantuan susulan tiba.
© New Straits Times Press (M) Bhd