Rumah, duit simpanan lebih RM2,000 dalam periuk hangus terbakar

Rumah, duit simpanan lebih RM2,000 dalam periuk hangus terbakar

am@hmetro.com.my

Tumpat: Enam beranak tinggal sehelai sepinggang apabila rumah sewa mereka hangus dalam kebakaran di belakang Pasar Cabang Empat di sini, hari ini.

Ketika kejadian jam 4 petang tadi, Mohd Shamsul Zawawi Awang, 43, bersama isteri dan empat anaknya tiada di rumah dan hanya mengetahui berita itu daripada rakan yang menghubungi mereka.

Dia berkata, mereka sekeluarga dalam perjalanan pulang dari Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu kerana membawa anak sulung yang berusia 14 tahun menerima rawatan jantung.

“Sebaik dihubungi rakan yang memberitahu rumah sedang terbakar, saya memecut kenderaan dan apabila tiba, api sedang marak membakar rumah bersama dua lagi rumah lain,” katanya ketika ditemui di lokasi di sini, hari ini.

Menurutnya, semua barangan tidak dapat diselamatkan termasuk tiga motosikalnya serta lebih RM2,000 wang tunai yang disimpannya dalam periuk.

Katanya lagi, wang itu adalah hasil jualannya yang berniaga makanan di pasar terbabit dan setiap minggu disimpan sebagai simpanan.

“Semuanya habis hangus dan anak-anak juga mengadu sedih kerana peralatan sekolah serta baju raya mereka hangus,” katanya.

Kejadian itu disedari seorang jiran, Mohd Shahrul Idham Mohd Nazar, 27, yang terdengar bunyi beberapa letupan kecil dari rumah sebelah dan segera keluar untuk melihat apa yang berlaku.

Dia berkata, sebaik keluar, dia melihat api sedang marak dari bahagian dapur rumah jirannya itu dan segera mengalihkan motosikal serta kereta milik keluarganya ke tempat selamat.

“Saya dan penduduk kampung tidak sempat memadamkan api kerana ia marak dengan cepat namun syukur kerana tiada kemalangan jiwa,” katanya.

Selain rumah sewa Mohd Shamsul Zawawi, kebakaran itu turut membabitkan dua lagi rumah lain dengan kemusnahan 95 peratus, manakala dua lagi premis termasuk sebuah kedai hanya terbakar sebahagian kecil sahaja.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tumpat, Muhammad Najmi Mat Yusoff, pihaknya menerima panggilan jam 4.11 petang dan seramai 19 pegawai serta anggota termasuk dari BBP Wakaf Bharu dan Pengkalan Kubor hadir ke lokasi.

“Kebakaran padam sepenuhnya jam 6.30 petang dan punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top