Rugi Ramadan berlalu tanpa melazimi al-Quran

Rugi Ramadan berlalu tanpa  melazimi al-Quran

Setiap dari kita pasti merasai perbezaan setiap kali tibanya Ramadan. Ada antara kita lebih rajin beribadah dan bersedekah. Ada yang suka berkongsi juadah. Masjid pun penuh kembali, meriah dengan kehadiran jemaah. Tidak kira yang tua mahupun muda, semuanya berebut-rebut memenuhi saf solat untuk bersama-sama merasai indahnya solat berjemaah. Perasaan ini cukup indah kerana ia antara jalan-jalan untuk mendekatkan diri kita dengan Allah. Namun, alangkah ruginya kita seandainya terlupa untuk berhubung dengan Allah melalui al-Quran yang penuh dengan  mau’izah (pengajaran).

Pernahkah kita merenung, sebenarnya apa hubungan kita dengan kitab suci ini? Adakah kita memanfaatkannya dengan baik dan mengikuti setiap petunjuk di dalamnya atau kita hanya membacanya, mengulanginya tanpa mendalaminya?

Ramadan bulan al-Quran

Boleh bayangkan tak, kita mahu pergi ke suatu daerah yang tidak pernah kita kunjungi sebelum ini. Kita buka penjejak GPS dan tetapkan lokasi. Tanpa rasa ragu-ragu, kita mulakan perjalanan dan yakin kita pasti akan sampai ke destinasi yang dituju. Apakah kita tahu dan mahir selok-belok jalan jika tidak ditemani GPS? Tentu saja jawapannya tidak!

Begitulah kehidupan kita, al-Quran adalah manual dan petunjuk, ‘GPS’ yang Allah kurniakan kepada manusia. Sayangnya, begitu sedikit yang memanfaatkannya. Berkat datangnya Ramadan, marilah kita berusaha untuk fokus, bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tapi inilah bulannya untuk kita mempergiatkan hubungan dengan al-Quran. Membacanya, mempelajarinya dan mempraktikan ibrah di dalamnya. 

Allah berfirman dalam Surah Al-Baqarah ayat 185: “Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran menjelaskan bahawasanya Allah memberikan petunjuk kepada manusia dan menjelaskan petunjuk itu pedoman antara yang benar dan yang salah.”

Jelas disebutkan bahawa al-Quran menjadi titik fokus dalam bulan Ramadan. Tapi sayang seribu kali sayang, banyak dari kita terlalu fokus dan menghadkan amalan ibadah hanya sekadar bentuk fizikal seperti puasa dan solat tarawih dengan mengabaikan aspek spiritual yang lebih besar impaknya dalam kehidupan, iaitu hubungan dengan al-Quran.

Pernah kita bertanya pada diri kita “Bagaimana hubungan aku dengan al-Quran?” atau “Mengapa al-Quran terasa jauh seolah-olah tiada kaitan?”

Persoalan demi persoalan ini boleh dirungkai sekiranya kita mula buat persiapan untuk berkenalan dengan al-Quran. Al-Quran bukan sekadar himpunan kisah lama, bukan juga sekadar hukum-hukum, tapi sarat dengan kebaikan. Mungkin sahaja, kita yang masih belum menemukan. 

Al-Quran sebagai cetak biru kehidupan

Kisah Saidina Umar Al-Khattab RA mengajarkan kepada kita bagaimana seseorang boleh berubah melalui al-Quran. Bermula dengan seorang yang sangat membenci Islam sehingga pernah bernazar untuk membunuh Nabi Muhammad SAW. Namun, Allah Maha Mengetahui, Yang Maha Mengatur apa jua perkara yang luar biasa. Dalam perjalanan Saidina Umar ke rumah saudarinya, beliau secara kebetulan melewati seseorang yang sedang membaca Surah Taha. Hatinya bergetar dan akhirnya, ia menerima petunjuk dan memeluk Islam.

Inilah cara al-Quran berfungsi. Sama seperti seorang atlet yang tidak akan mampu mengekalkan kecemerlangan tanpa rutin dan latihan yang wajib yang diikuti, begitulah juga kita, tidak akan mampu menjalani kehidupan dengan kemas dan teratur melainkan al-Quran hadir untuk membimbing kita dan menyuluh jalan.

Cara terbaik memanfaatkan al-Quran dalam bulan Ramadan

Banyak yang ingin memperdalam hubungan mereka dengan al-Quran tetapi tidak tahu bagaimana nak memulakan. Ini adalah beberapa langkah yang boleh kita mulakan:

1. Tetapkan target bacaan

Letakkan matlamat bilangan helaian yang kita mampu usahakan. Mungkin ada yang mampu untuk membahagikan bacaan sebanyak sejuzuk sebulan, ada yang mampu separuh juzuk sebulan. Jika tidak mampu, setidak-tidaknya berazamlah setiap hari untuk membaca beberapa halaman.

Sabda Nabi SAW: “Orang yang mahir membaca al-Quran kelak dia akan bersama-sama malaikat pencatat amalan yang sangat mulia lagi taat (kepada Allah). Manakala orang yang membaca al-Quran dengan tergagap-gagap dan sukar buatnya, baginya duaganjaran pahala.” (Riwayat Muslim)

Maka, teruskanlah membaca al-Quran, dalam masa yang sama kita pertingkatkan dan terus-menerus mempelajari ilmuyang berkaitan dengan al-Quran.

2. Membiasakan mendengar alunan al-Quran

Al-Quran ini bertindak untuk melembutkan hati walaupun kita belum mengerti maknanya. Mulakan dengan mendengar bacaan qari kegemaran antaranya Syeikh Misyari Rasyid, Syeikh Abdul Rahman al-Sudais dan lain-lain tokoh al-Quran. Kita mahu apabila al-Quran ini sering diulang-ulang, telinga kita lunak mendengarkan sehingga kita terbiasa dan mampu menghafaz secara sengaja ataupun tidak disengajakan.

Firman Allah SWT didalam Surah al-Araf ayat 204: “Dan apabila al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat.

3. Renung dan perhatikan

Bacalah terjemahan dan huraian pada ayat-ayat yang telah kita bacakan. Fikirkan bagaimana ayat-ayat ini boleh saling berhubung dengan realiti kehidupan seharian. Inilah cara untuk berinteraksi dengan al-Quran.

Kita tidak perlu menjadi ilmuwan untuk mentadabbur al-Quran. Berbeza dengan ilmu tafsir yang perlukan disiplin ilmu yang perlu dikuasai oleh ahli tafsir al-Quran.

Misalnya, dalam Surah al-Baqarah ayat 286, Allah SWT menyatakan: “Dia tidak membebani jiwa seseorang melainkan sesuaidengan kemampuannya.” 

Refleksi ayat ini mengajarkan kita agar jangan sesekali berputus-asa dan kehilangan harapan. Kita beriman bahawa Allah atur ujian khusus buat kita kerana kita mampu berhadapan dengan apa jua rintangan. Ya, mungkin kita rasa tidak mampu, tapi Allah yang mencipta kita, tahu kuat lemah kita, tahu baik-buruk kita, yakinlah bahawa ilmu-Nya yang luas tahu bahawa kita mampu lakukan!

4. Menerapkannya dalam kehidupan seharian

Al-Quran tidak diajarkan hanya untuk dibaca. Ia harus dipraktikkan secara langsung dalam kehidupan seharian.

Misalnya, membaca ayat yang menekankan tentang pentingnya memberi sedekah, seharusnya mendorong kita untuk mula memberi meskipun dalam jumlah yang sedikit kepada orang-orang yang sangat memerlukan.

Jika kita menelusuri ayat tentang orang yang tidak beriman, maka kita berusaha untuk menjauhi segala larangan dan acaman yang Allah berikan.

Membaca tentang ayat untuk menyegerakan kebaikan, maka kita perlu sahut seruan untuk berlumba-lumba dalam melakukan apa jua kebaikan.

Ramadan bulan yang penuh dengan keberkatan. Jika kita belum berjinak-jinak untuk membaca al-Quran, inilah waktu terbaik untuk menjalin hubungan baik dengan Allah melalui pintu al-Quran. Jika sebelumnya kita menjauh dari al-Quran, sekarang adalah waktu untuk melakukan perubahan. Jangan biarkan Ramadan berlalu tanpa memasukkan al-Quran kedalam kehidupan.

Sementara kita masih diberikan peluang, manfaatkanlah kesempatan yang diberikan oleh Ramadan. Capailah al-Quran. Bacalah, fahamilah lalu praktikkanlah. Gunakan segenap deria yang Allah kurniakan untuk kita faham al-Quran. Mudah-mudahan Ramadan kali ini benar-benar memberikan perbezaan!

Selitkan doa supaya Allah menghadirkan rasa kebergantungan kita pada al-Quran: “Ya Allah rahmatilah kami dengan al-Quran. Jadikan ia imam kami, cahaya, petunjuk dan rahmat bagi kami. Ya Allah ingatkanlah kami apa yang kami terlupa dan ajarkan bagi kami apa yang kami jahil. Kurniakanlah kepada kami untuk membacanya sepanjang malam dan sepanjang siang. Jadikanlah ia perisai kami. Wahai Tuhan sekalian alam.”

Penulis Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top