Rufayda Academy sedia penuhi keperluan jururawat negara

Rufayda Academy sedia penuhi keperluan jururawat negara

PUTRAJAYA: Rufayda Academy, pusat latihan kejururawatan milik Andorra Healthcare Bhd (Andorra) berharap dapat mengatasi keperluan dan isu kekurangan 60 peratus jururawat menjelang tahun 2030.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, pihaknya bersedia menyahut hasrat Kementerian Kesihatan (KKM) itu sekali gus memenuhi keperluan tenaga kerja kesihatan di negara ini.

Beliau berkata, lebih penting, jururawat yang dilatih di Rufayda Academy akan dibekalkan ilmu perubatan Islam dan aspek kerohanian.

“Buat masa ini, tiada usaha penyelarasan dan integrasi antara agama dan perubatan. Kami muncul bagi mengisi kelompongan itu sekali gus memberi nilai tambah kepada sektor kesihatan negara,” katanya kepada Utusan Malaysia pada majlis pelancaran Rufayda Academy di sini, semalam.

Katanya, Rufayda diambil sempena nama Rufayda al-Aslamiah, tokoh jururawat Islam pertama yang telah mencorakkan sejarah perawatan kesihatan dengan penuh dedikasi dan kasih sayang.

Sementara itu, Pengasas Andorra, Dr Kamsiah Muda berkata, ini adalah konsep latihan kejururawatan pertama di negara ini yang menekankan silibus agama, falsafah dan etika sama ada bersifat teori dan praktikal.

Menurutnya, peserta bukan sahaja dibekalkan dengan ilmu perubatan sebaliknya dilengkapi kecerdasan emosi dan spiritual bagi merawat pesakit.

“Malah, kami di Andorra sendiri sudah mula memberi perawatan spiritual kepada pesakit-pesakit kami. Kita dapati konsep ini sangat diterima baik,” katanya.

Katanya, pihaknya juga akan menjalinkan kerjasama dengan beberapa kolej kejururawatan swasta dalam masa terdekat bagi memperluaskan silibus berkenaan.

Pada majlis sama, Rufayda Academy turut melancarkan dana wakaf bagi menyediakan biasiswa dan bantuan kewangan bagi pelajar perubatan dan kejururawatan dalam kalangan asnaf dan B40. – UTUSAN