najiy.jefri@hmetro.com.my
Selepas kejayaan single Paling Sejati yang dilancarkan pada November tahun lalu meraih hampir 150,000 penstriman di Spotify dan lebih 300,000 tontonan di YouTube, penyanyi kelahiran Singapura, Roziana Cindy, kembali dengan single terbaharu berjudul Tinggalkan Luka.
Menariknya, lagu itu adalah hasil kerjasama dengan komposer terkenal Indonesia, Ilham Baso yang cukup terkenal menghasilkan lagu-lagu seperti Bukan Dia Tapi Aku dan Menjaga Jodoh Orang Lain.
Dengan susunan muzik yang lembut, persembahan vokal penuh emosi, dan lirik yang menyayat hati, Tinggalkan Luka adalah sebuah karya yang menyentuh jiwa.Lagu ini mengetengahkan sisi Roziana yang lebih tulus, rapuh dan bertafakur, langsung mempamerkan vokal yang menggetarkan perasaan.”Tinggalkan Luka mengingatkan kita untuk melepaskan kesakitan yang pernah melingkari kita, dan tidak membenarkan ia mendefinisikan siapa kita. “Saya sangat berterima kasih kerana dapat bekerjasama dengan Ilham, yang bakat dan empatinya membawa lagu ini menjadi sesuatu yang begitu bermakna,” katanya yang juga bertindak sebagai penerbit eksekutif bagi projek lagu itu.Ilham Baso yang popular dengan kemampuannya menzahirkan emosi kompleks melalui melodi yang menyentuh, turut berkongsi pandangannya mengenai kolaborasi ini.
“Roziana mempunyai suara yang membawa keanggunan dan kebenaran. Kolaborasi dalam Tinggalkan Luka membolehkan kami menyampaikan pengalaman universal mengenai kehilangan dan penyembuhan. Saya percaya ramai akan merasa terhubung melalui lagu ini,” katanya.Dengan pelancaran lagu Tinggalkan Luka, Roziana memperkukuh kehadirannya dalam industri muzik serantau, sekali gus menampilkan kematangan artistik dan emosinya dalam menyampaikan lagu-lagu yang bersifat peribadi, intim, dan mudah dirasai oleh semua lapisan masyarakat.Single ini sudah dilancarkan secara rasmi pada 25 April lalu dan boleh dinikmati di semua platform penstriman digital.
© New Straits Times Press (M) Bhd