Rosman rancang rombakan beregu wanita

Rosman rancang rombakan beregu wanita

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan terus memantau perkembangan semasa pemain beregu wanita sebelum melakukan rombakan untuk menghasilkan pasangan kedua terbaik selepas Pearly Tan-M Thinaah.

Ketua jurulatih beregu wanita, Rosman Razak berkata, beliau mengakui ketika ini beregu wanita negara masih belum berada di prestasi terbaik untuk bersaing dengan beregu terbaik dunia.

Justeru, dirinya tetap optimis mampu menghasilkan gandingan baharu itu bagi memastikan Malaysia tidak bergantung kepada satu pasangan saja selepas ini.

“Sebenarnya, itu yang saya sedang lakukan (pecah ganding) tetapi seperti saya cakap, semua ini memerlukan proses dan mengambil masa kerana prestasi pemain juga sentiasa berubah.

“Setiap masa akan ada perubahan sama ada dari segi komitmen mereka menjadi lebih kuat atau sebaliknya. Jadi dia tiada tetapan masa dan itu memberi peluang kepada pemain junior mendapatkan tempat,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, hari ini.

Selain itu, Rosman mengakui ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk melakukan perkara itu dan ia memerlukan masa.

“Seperti saya katakan, beregu wanita kita masih ada jurang dengan pasangan dunia yang lain. Jadi ini bukan kerja setahun tetapi memerlukan masa dua ke tiga tahun. Masih lama untuk ke arah itu,” katanya.

Terdahulu, skuad badminton kerana menamatkan Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) 2025 di Qingdao, China di kedudukan tercorot Kumpulan B tanpa sebarang kemenangan selepas tewas kepada Indonesia dan Hong Kong, 2-3.

Kekalahan itu menyaksikan Malaysia mencatat sejarah buat pertama kali gagal ke suku akhir selepas tiga edisi sebelum itu berjaya melakukannya ke pusingan lapan terbaik.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top