Ronda Ramadan sambil bantu asnaf

Ronda Ramadan sambil bantu asnaf

am@hmetro.com.my

Bangi: Pusing seluruh negara dengan menunggang motosikal berkuasa tinggi sambil beramal dan membantu golongan asnaf sepanjang bulan Ramadan.

Itu antara usaha dilakukan ahli Kelab Goldwing Malaysia (G2O) yang menganjurkan Majlis Santunan Kasih Ramadan bersama golongan kurang bernasib baik di Bangi Convention Centre di sini, baru-baru ini.

Pengerusi G20, Datuk Sulaiman Sami’an berkata, mereka menganjurkan aktiviti konvoi motosikal di seluruh pelusuk negara sambil beramal.

Menurutnya, aktiviti itu adalah sebahagian daripada program khidmat sosial masyarakat untuk berkongsi rezeki dan menyantuni golongan memerlukan sejak kelab ini ditubuhkan 18 tahun lalu.

Katanya, program sumbangan seumpama itu bukan sahaja diadakan pada bulan Ramadan malah ia diadakan setiap kali mereka menjelajah negara.

“Aktiviti ini diadakan bertujuan memberi kesedaran dan keinsafan kepada ahli G20 terhadap isu kemiskinan dan masalah masyarakat,.

“Kami turut mahu memberikan gambaran positif kepada masyarakat bahawa penunggang motosikal berkuasa tinggi juga gemar melakukan amal jariah,” katanya.

Pada program ini seramai 103 golongan memerlukan menerima duit raya berjumlah RM300 setiap seorang .

Penerima membabitkan golongan asnaf, anak yatim, pelajar tahfiz, ibu tunggal, warga emas dan ahli kelab motosikal golongan kurang upaya (OKU) pekak dan bisu Wilayah Persekutuan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top