Ronaldo sekali lagi wira Portugal

Ronaldo sekali lagi wira Portugal

Lisbon: Jaringan lewat pemain gantian Cristiano Ronaldo membolehkan Portugal bangkit menewaskan Scotland 2-1 untuk meneruskan permulaan sempurna dalam saingan Liga Negara-Negara awal pagi tadi.

Selepas Bruno Fernandes menyamakan kedudukan buat Portugal, Ronaldo menjaringkan gol ke-901 dalam kariernya pada minit ke-88.

Scotland hampir mendapat kemenangan pertama ke atas Portugal sejak 1980 selepas mengejutkan tuan rumah dengan gol pendahuluan menerusi tandukan kencang Scott McTominay pada minit ketujuh.

Tetapi mereka akhirnya pulang hampa selepas Ronaldo yang berusia 39 tahun sekali lagi menjadi wira negaranya.

“Pengaruhnya masih sama sama ada dia masuk sebagai pemain simpanan atau tidak,” kata Fernandes yang beraksi kali ke-600 dalam kariernya ketika merujuk bekas rakan sepasukannya di Manchester United.

“Setiap orang yang masuk mencipta perbezaan. Cristiano mendapatkan gol yang ke-901 dan dia akan terus memburu angka 1000 yang dihajatinya.”

Portugal mendahului Kumpulan 1 Liga A dengan enam mata selepas menang aksi pertama ke atas Croatia yang kini menduduki tangga kedua apabila menewaskan Poland 1-0 dalam satu lagi perlawanan awal pagi tadi.

Scotland pula tewas dua kali berturut-turut dengan kedua-dua gawang mereka dibolosi pada lewat perlawanan.

© New Straits Times Press (M) Bhd