Ronaldo kekal bersama Al Nassr sehingga Jun 2026

Ronaldo kekal bersama Al Nassr sehingga Jun 2026

Riyadh: Bintang bola sepak Portugal, Cristiano Ronaldo dilaporkan mencapai persetujuan dengan Al Nassr melanjutkan kontrak sehingga Jun 2026, kata sumber kelab itu kepada AFP.

Sumber memaklumkan, kedua-dua pihak berjaya mencapai kata sepakat untuk Ronaldo terus kekal berada di Aran Saudi, namun penyerang itu masih belum menurunkan tandatangan di mana ia akan dilakukan dalam masa terdekat.

Ronaldo yang sudah memasuki usia 40 tahun pada minggu lalu bakal mengakhiri kontrak pada Jun 2025 depan, tetapi dengan perjanjian baharu ini dia tampaknya akan kekal semusim lagi.

Bekas pemain Manchester United, Real Madrid dan Juventus itu mula menyertai Al Nassr pada Januari 2023 dan sepanjang tempoh itu sudah meledak 82 gol dalam 90 penampilan dalam semua kejohanan bersama kelab Arab Saudi itu.

Pada Ogos lalu, Ronaldo mengakui sedia kekal beraksi untuk Al Nassr dan menamatkan kariernya di kelab itu dengan kemungkinan kekal untuk dua musim atau tiga musim.

“Saya gembira untuk kekal di Al Nassr di mana kelab ini membuatkan saya dan keluarga sentiasa gembira…malah saya juga selesa di sini,” katanya.

Terdahulu, media Arab Saudi melaporkan Ronaldo bakal melanjutkan kontraknya dan dijangka menerima gaji lebih kurang sama dengan nilai diterimanya sebelum ini iaitu 200 juta euro (RM922 juta) setahun.

Menerusi lanjutan kontrak ini, Ronaldo akan kekal sebagai pemain bola sepak dengan bayaran tertinggi di dunia dengan memperoleh 16.67 juta euro (RM76.87 juta) sebulan serta lebih daripada 500,000 euro (RM2.25 juta) setiap hari.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top