Pyongyang: Penggodam yang dikaitkan dengan kumpulan Lazarus yang terkenal di Korea Utara dilaporkan mengeluarkan ratusan juta daripada AS$1.46 bilion (kira-kira RM6.5 bilion) yang mereka curi dalam rompakan kripto terbesar dunia pada bulan lepas, lapor portal Independent.
Penyiasat termasuk firma analitik blockchain Britain, Elliptic yang menjejaki dana yang dicuri mengatakan kira-kira 20 peratus daripada nilai AS$1.46 bilion (kira-kira RM6.5 bilion) yang dicuri dalam mata wang digital itu kini sudah tidak dapat dikesan.
Mata wang digital itu dicuri daripada bursa mata wang kripto yang berpangkalan di Dubai ByBit pada 21 Februari lalu.
Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) mengesahkan rompakan itu, mengatakan Korea Utara bertanggungjawab.
Ia memberi amaran bahawa penggodam bergerak dengan pantas dan menukar beberapa aset yang dicuri kepada Bitcoin dan aset maya lain yang tersebar di ribuan alamat pada berbilang blockchain.
“Aset ini dijangka akan terus ‘dicuci’ dan akhirnya ditukar kepada mata wang fiat (wang dalam bentuk sebenar),” kata FBI.
Laporan awal mendapati perisian hasad digunakan untuk menipu pertukaran supaya meluluskan transaksi ke dompet yang dimiliki oleh penggodam.
Dalam masa beberapa minit sahaja, dana yang dicuri disalurkan dengan pantas merentasi internet ke bursa kripto lain dan dompet tanpa nama, melengkapkan rompakan terbesar dalam sejarah.
Berikutan aset itu ‘dicuci’ dalam masa nyata, penyiasat melihat corak yang menunjukkan pautan kepada salah satu kumpulan penggodaman paling terkenal di dunia, Lazarus, yang didakwa disokong oleh Korea Utara.
Penggodam dikatakan menjalankan operasi canggih untuk memindahkan dana yang dicuri, menggunakan alat automatik dan bekerja secara bergilir-gilir sepanjang masa untuk menukar mata wang digital dicuri itu kepada tunai.
© New Straits Times Press (M) Bhd