harisfadli@hmetro.com.my
Kajang: Seramai 12 individu dirakam percakapan berhubung kes rompakan sebuah kedai emas di sekitar Kota Damansara, Selangor, membabitkan seorang anggota polis bantuan yang kini di peringkat akhir.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata pihaknya hampir menyelesaikan siasatan kes rompakan membabitkan seorang suspek lelaki berusia 32 tahun.
“Kita dah hampir nak selesaikan siasatan ini dan seperti mana yang saya maklumkan sebelum ini, suspek berkenaan bergerak solo.
“Setakat ini, pihak polis sudah merakam 12 percakapan terdiri daripada saksi dan anggota polis yang terlibat,” katanya pada sidang media di Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan, serta ketua jabatan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan ketua-ketua polis daerah.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan polis menahan seorang lelaki dipercayai terbabit dalam kejadian rompakan sebanyak tujuh dulang barangan kemas bernilai RM2 juta di sebuah kedai emas di pasar raya di Kota Damansara, Selangor.
Hussein dilaporkan berkata, suspek ditahan pada jam 10.15 malam di sekitar Bukit Beruntung, Hulu Selangor, dan pihaknya menemukan semula barangan kemas yang disamun.
Polis mengesahkan suspek terbabit merupakan seorang anggota polis bantuan sebuah syarikat utiliti dan dipercayai bertindak secara sendirian.
Suspek dipercayai menggunakan sepucuk senjata api milik majikannya untuk melakukan rompakan bersenjata itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd