sukan@hmetro.com.my
Seremban: Negeri Sembilan FC (NSFC) dijangka bakal membuat perubahan besar dalam pembentukan pasukan baharu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) 2025-2026, dengan hanya mengekalkan sekitar 30 hingga 40 peratus muka lama.
Naib Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Mustapha Nagoor berkata, perubahan itu bukan sahaja akan membabitkan pemain malah juga barisan kejurulatihan skuad Hobin Jang Hobin.
“Akan ada perubahan besar dalam pasukan Negeri Sembilan bagi menghadapi musim 2025-2026 ini. Ia bukan sahaja membabitkan pasukan Liga Super tetapi juga skuad muda bawah 18 dan 20 tahun, yang setakat ini sudah pun berjalan.
“Perubahan secara holistik ini terutama pasukan Liga Super akan membabitkan ketua jurulatih, jurulatih dan pemain dan ia menunjukkan komitmen tinggi NSFC dalam memperkasakan bola sepak Negeri Sembilan.
“Semua peminat dan penyokong ingin melihat perubahan pasukan dan pada peringkat awal setakat ini boleh saya maklumkan pasukan utama Negeri Sembilan bakal berwajah baharu untuk menghadapi saingan LIga M musim 2025-2026,” katanya ketika ditemui selepas pengumuman Kejohanan Sukan Negeri Sembilan 2025 (Suknes 2025), di Wisma Negeri di sini, hari ini.
Mustapha yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri, berkata pihaknya sudah memaklumkan kepada pengurusan NSFC supaya pemilihan jurulatih dan pemain Liga Super dapat dibuat lebih awal untuk memastikan usaha membentuk pasukan terbaik berjalan lancar.
“Kita tidak mahu seperti musim lalu apabila lambat bertindak, pemain yang ingin dibawa masuk direbut kelab lain, jadi kita tidak sempat untuk mendapatkan pemain terbaik di pasaran,” katanya.
Beliau turut memberitahu, pihaknya telah berbincang dengan pemegang taruh termasuk kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Aminuddin Harun bagi NSFC mendapatkan dana secukupnya untuk membentuk satu pasukan yang terbaik.
Menurutnya, untuk membentuk pasukan profesional yang terbaik memerlukan dana yang mencukupi.
“Sebagai contoh, Negeri Sembilan hanya membelanjakan antara RM8 hingga RM10 juta semusim namun jika perbandingan dibuat dengan pasukan lain, dana mereka lebih besar ada yang mencecah sehingga RM30 juta
“Melalui dana yang mencukupi, pengurusan yang cekap dan berintegriti serta pemain yang terbaik, saya yakin Negeri Sembilan boleh bersaing dengan lebih baik pada musim baharu nanti,” katanya.
Beliau mahu peminat dan penyokong pasukan itu bersabar dan nantikan pengumuman rasmi daripada jawatankuasa yang dipengerusikan Tunku Besar Tampin merangkap Presiden PBNS dan Pengerusi NSFC, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri.
“Kita tunggu dan lihat perubahan yang bakal dilakukan oleh NSFC. Jurulatih dan pemain termasuk pemain import sudah ada dalam bayangan tapi saya tak boleh umumkan sekarang.
“Saya berharap pembentukan pasukan baharu ini nanti dapat diselesaikan dengan baik atau pada awal Jun depan bagi membolehkan persiapan selanjutnya berkaitan latihan dan sebagainya dapat disusun. Itu harapan saya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd