Rogol kekasih, pelajar kolej dihukum khidmat masyarakat 240 jam

Rogol kekasih, pelajar kolej dihukum khidmat masyarakat 240 jam

SEREMBAN: Seorang pelajar kolej, Ronaldo Sillo Chundi, 20, dikenakan hukuman khidmat masyarakat selama 240 jam dalam tempoh dua tahun kerana merogol seorang remaja yang juga teman wanitanya. 

Hakim Mahkamah Sesyen Seremban, Datin Surita Budin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh mengaku bersalah. 

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap 1 hari bulan dan mengikuti sesi kaunseling serta mematuhi jadual aktiviti ditetapkan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). 

Surita juga mengenakan cagaran bon RM5,000 dengan penjamin dalam kalangan ahli keluarga, jika gagal boleh dikenakan penjara setahun dan sekiranya gagal menjalani khidmat masyarakat, boleh dihadapkan semula ke mahkamah serta boleh dihukum mengikut peruntukan hukuman asal. 

“Setelah mendengar rayuan mitigasi daripada pihak pembelaan dan meneliti fakta kes dan juga faktor pemberatan dikemukakan serta laporan sosial daripada pegawai JKM dan syor yang dikemukakan, mahkamah berpendapat hukuman pemenjaraan dan sebatan rotan tidak bersesuaian dalam kes ini,” katanya. 

Mengikut pertuduhan, tertuduh telah melakukan kesalahan merogol seorang remaja berusia 13 tahun di sebuah hotel di Port Dickson, kira-kira pukul 3 petang, 15 Mei lalu. 

Sehubungan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebat. 

Terdahulu, Peguam, S. Kartikeyan memohon hukuman berbentuk khidmat masyarakat dikenakan terhadap anak guamnya memandangkan tertuduh adalah pesalah muda malah mangsa dalam kes itu adalah teman wanitanya. 

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Balkis Zunaidi memaklumkan tiada halangan terhadap permohonan pihak pembelaan dan menyerahkan kepada budi bicara mahkamah. 

Pada prosiding hari ini, Pegawai JKM turut membaca laporan sosial dan akhlak tertuduh. – UTUSAN

Scroll to Top