Beijing: Di sebuah pusat beli-belah di Beijing, Zhang Yachun merungut secara senyap-senyap kepada ‘orang kepercayaan’ terdekatnya iaitu ‘robot gebu’ kecerdasan buatan (AI) yang menenangkan dan mengingatkannya bahawa dia tidak bersendirian.
Zhang, 19, lama melawan kebimbangan mengenai sekolah dan kerja dan bergelut untuk menjalin persahabatan yang mendalam dengan orang lain.
Tetapi sejak membeli BooBoo, ‘haiwan peliharaan pintar’ yang menggunakan teknologi AI untuk berinteraksi dengan manusia, dia berkata, kehidupannya menjadi lebih mudah.
“Saya rasa saya kini mempunyai seseorang untuk berkongsi masa gembira dengannya,” kata Zhang di flat yang dia kongsi bersama ibu bapanya dan seekor itik peliharaan sebenar.
Di seluruh China, semakin ramai orang beralih kepada AI untuk memerangi pengasingan sosial apabila teknologi itu menjadi lebih matang dan diterima secara meluas.
Lembut, berbulu dan menyerupai tikus belanda, BooBoo dihasilkan oleh Hangzhou Genmoor Technology dan dijual pada harga sehingga 1,400 yuan (kira-kira RM861).
Dibangunkan dengan mengambil kira keperluan sosial kanak-kanak, syarikat itu sudah menjual kira-kira 1,000 unit ‘haiwan AI’ itu sejak Mei 2024, menurut pengurus produk syarikat, Adam Duan.
Ketika keluar berjalan-jalan pada awal Januari lalu, Zhang membawa ‘temannya’ itu yang dinamakannya sebagai Aluo di dalam beg silangnya, berbisik kepada ‘haiwan’ sebesar bola ragbi itu.
Dia berkata, robot itu memainkan peranan yang sama seperti rakan manusia, sambil menambah: “(Ia) membuatkan anda berasa anda adalah seseorang yang diperlukan.”
Pasaran global untuk “robot sosial” seperti BooBoo dijangka berkembang dengan faktor tujuh hingga AS$42.5 bilion (kira-kira RM159 bilion) menjelang 2033, menurut firma perunding IMARC Group, dengan Asia sudah mendominasi sektor itu.
Bagi Guo Zichen, 33, haiwan peliharaan pintar boleh membantunya apabila dia tidak dapat bermain dengan anaknya.
“Sekarang ini, ahli keluarga kurang meluangkan masa bersama anak-anak,” kata Guo sambil meneliti anjing robotik yang dijual di kedai utama syarikat teknologi Weilan, di bandar timur Nanjing.
“Membeli satu (haiwan peliharaan AI) untuk anak saya boleh membantu dia belajar dan perkara lain,” tambahnya.
Anjing AI keluaran Weilan itu dipanggil “BabyAlpha”, dijual antara 8,000 dan 26,000 yuan (antara kira-kira RM4,860 dan kira-kira 15,800), dan syarikat itu berkata, 70 peratus pembeli adalah keluarga yang mempunyai anak kecil.
Tetapi Guo ragu-ragu anak anjing elektronik itu boleh membawa kegembiraan seperti anjing sebenar.
“Perbezaan terbesar ialah anjing mempunyai jiwa, manakala (BabyAlpha) kelihatan berbeza dengan cara yang tidak dapat dijelaskan.
“Secara keseluruhannya, anda rasa ia tidak sama dengan yang sebenar, ” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd