RM44 bilion diperuntuk untuk PMKS

RM44 bilion diperuntuk untuk PMKS

KUALA LUMPUR – Mulai tahun depan, nilai keseluruhan pinjaman dan jaminan pembiayaan yang tersedia untuk manfaat usahawan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) berjumlah sehingga RM44 bilion.

Tentunya, usahawan mikro dan peniaga kecil disediakan kemudahan pinjaman kecil dengan dana keseluruhan RM2.4 bilion di bawah agensi seperti Bank Negara Malaysia, Bank Simpanan Nasional (BSN) dan TEKUN.

Sejumlah RM1.4 bilion di bawah pinjaman mikro BSN untuk membantu menyediakan modal perniagaan, pembelian peralatan, premis serta pemasaran kepada penjaja dan pengusaha kecil-kecilan.

Manakala RM330 juta di bawah TEKUN juga adalah untuk menyediakan kemudahan pembiayaan kepada peniaga kecil seperti pengusaha batik dan kraf, usahawan Orang Asli serta Bumiputera Sabah dan Sarawak.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Belanjawan Madani akan terus menyokong usahawan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) selaras dengan hasrat Kerangka Ekonomi Madani dengan keutamaan menyokong peningkatan kapasiti perniagaan serta daya saing dalam melonjak pertumbuhan pendapatan rakyat dan negara.

Menurutnya, sebanyak RM30 juta daripadanya disediakan khusus untuk membiayai perniagaan diusahakan masyarakat India.

Daripada jumlah keseluruhan ini, sebanyak RM720 juta dikhaskan untuk menggalakkan golongan wanita dan belia menceburi bidang perniagaan.

Di bawah BNM juga, sejumlah RM8 bilion dana pinjaman disediakan untuk menyokong syarikat PKS, kata perdana menteri ketika membentangkan Belanjawan 2024.

Daripada jumlah tersebut sebanyak RM600 juta dikhususkan untuk membantu perusahaan mikro dan usahawan berpendapatan rendah, kontraktor kecil, penerapan amalan kelestarian dan sektor berkaitan keterjaminan makanan.

Bagi tahun 2024, RM600 juta disediakan di bawah Dana Impak Khazanah Nasional dengan keutamaan untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan memberi lebih banyak peluang kepada komuniti desa, separa bandar dan golongan kurang mendapat perkhidmatan kewangan.

Setakat ini, Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP) telah menjamin lebih 100,000 PKS merangkumi 75 peratus PKS bukan bumiputera dan 25 peratus PKS bumiputera dengan nilai keseluruhan diluluskan berjumlah lebih RM75 bilion.

Tahun hadapan, SJPP akan menjamin sehingga 80 peratus pinjaman usahawan PKS khususnya yang terlibat dalam bidang ekonomi hijau, teknologi dan halal dengan ketersediaan dana jaminan sehingga RM20 bilion.

Anwar berkata, sejak ditubuhkan, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) telah berjaya membantu 1 juta peminjam khususnya ibu tunggal dan golongan miskin melalui penyediaan modal perniagaan kecil-kecilan.

AIM telah menunjukkan prestasi yang sangat cemerlang dengan mencatatkan kadar pinjaman tak berbayar (NPL) terendah iaitu 0.26 peratus pada tahun 2022.

Bagi menyokong fungsi AIM yang berupaya membasmi kemiskinan, Kerajaan Perpaduan menyediakan peruntukan pembiayaan sebanyak RM100 juta. – MalaysiaGazette