rnoraina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Sanggup menjadi ‘ibu tumpang’ dengan mendaftarkan nama sebagai ibu kandung kepada bayi yang baru dilahirkan bagi mendapat imbuhan antara RM200 sehingga RM3,000 bagi setiap permohonan sijil kelahiran.
Malah ada di antara wanita terbabit dipercayai menerima bayaran tetap daripada sindiket pemalsuan sijil kelahiran bayi dan melakukan perbuatan itu secara berulang.
Taktik itu dibongkar Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hasil penahanan 10 individu termasuk enam wanita menerusi Op Tumpang 2.0 yang dijalankan bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di seluruh negara, semalam.
Ketua Pengarah JPN, Badrul Hisham Alias berkata, wanita terbabit bertindak sebagai pemaklum kelahiran dengan mengemukakan dokumen pengesahan kelahiran palsu tercatat maklumat dirinya sebagai ibu yang melahirkan bayi terbabit.
“Namanya dimasukkan dalam sijil kelahiran bayi melalui pendaftaran kelahiran yang didaftarkan di bawah permohonan ‘single mother’ (ibu tunggal) dan tiada hubungan biologi.
“Siasatan mendapati sijil kelahiran yang dikeluarkan kepada pemaklum kemudian diserah kepada ejen bagi tujuan dipasarkan ke pasaran gelap. Tindakan itu dilakukan atas dorongan imbuhan atau ganjaran daripada ejen atau pihak ketiga termasuk sindiket,” katanya kepada Harian Metro.
Beliau berkata, terdapat juga lelaki yang ditahan menggunakan nama sebagai bapa kandung untuk mendaftar kelahiran bayi yang diperoleh daripada pihak ketiga seperti bayi luar nikah, anak tidak berdokumen atau warga asing.
Badrul Hisham berkata, ia bertujuan mendapatkan sijil kelahiran bertaraf warganegara kepada bayi terbabit, seterusnya bagi mendapatkan MyKad supaya dapat mengakses kemudahan seperti pendidikan, kesihatan dan sebagainya.
“Tindakan ini dilakukan sebagai jalan singkat dan tidak melalui proses sah seperti permohonan pengangkatan dan permohonan kewarganegaraan,” katanya.
Katanya, hasil soal siasat mendapati wujud jaringan ejen yang mencari individu untuk menumpangkan nama sebagai ibu atau bapa kepada bayi dan menguruskan segala dokumen sokongan palsu atau memanipulasi dokumen seperti surat perubatan serta pengesahan kelahiran palsu.
Menurutnya, sindiket juga mengenakan bayaran tertentu kepada keluarga angkat atau pihak yang ingin mendapatkan kanak-kanak lengkap pakej dokumen pengenalan diri rasmi.
Bagaimanapun, beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 36(1)(b) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299).
Beliau turut menjelaskan bahawa JPN tidak pernah melantik mana-mana ejen untuk menjalankan urusan membabitkan dokumentasi diri, sijil lahir warganegara dan kad pengenalan.
JPN juga menyeru individu atau keluarga yang terkait dengan isu pemerolehan sijil lahir tidak teratur supaya tampil secara sukarela di mana-mana JPN dan tidak perlu risau tindakan sekiranya terpedaya sebelum ini kerana JPN akan membantu memastikan pemilikan dokumen anak jagaan dapat dikeluarkan secara teratur berdasarkan peraturan ditetapkan.
“JPN sentiasa komited menangani dan membanteras sindiket pengeluaran sijil kelahiran dan akan melaksanakan operasi penguatkuasaaan secara berterusan bagi menangani isu pendaftaran kelahiran secara tidak teratur,” katanya.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan 25 individu ditahan menerusi Op Tumpang 2.0 oleh JPN bersama SPRM membabitkan sindiket pemalsuan sijil kelahiran bayi.
© New Straits Times Press (M) Bhd