RM30 juta naik taraf Kem Batalion 18 RAMD Seberang Takir – Utusan Digital

KUALA NERUS: Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM30 juta bagi menaik taraf kemudahan di Kem Batalion 18 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Seberang Takir, di sini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara kemudahan yang akan dibangunkan ialah poliklinik, masjid, dewan dan unit kediaman anggota di kem berkenaan.

Katanya, pembinaan masjid baharu dijangka selesai pada November tahun depan manakala poliklinik yang dilengkapi jabatan kecemasan, bilik x-ray dan makmal pula bakal siap pada Januari 2023.

“Blok lama kediaman anggota kini dalam proses dinaik taraf dan sebanyak 48 unit rumah tiga bilik sudah siap berbanding dua bilik sebelum ini.

“Manakala peruntukan sebanyak RM11 juta lagi untuk tambahan 196 unit kediaman manakala dewan serbaguna berjumlah RM1.5 juta akan dibawa ke Bajet 2022,” katanya dalam sidang akhbar selepas lawatan kerja di sini hari ini.

Yang hadir sama, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd. Zain.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata, sehingga kini, seramai 21,791 anggota tentera sudah menerima suntikan vaksin Covid-19 fasa pertama.

Katanya, mereka terdiri daripada petugas barisan hadapan yang terlibat dengan sekatan jalan raya dan anggota pengaman di luar negara. -UTUSAN ONLINE