RM2.3 juta untuk baik pulih

RM2.3 juta untuk baik pulih

am@hmetro.com.my

Jasin: Peruntukan sebanyak RM2.3 juta diperlukan untuk membaik pulih runtuhan tanah dan cerun di Taman Lipat, Kajang Perdana di sini, yang menjadi kebimbangan penduduk.

Exco Kanan Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Melaka, Datuk Rais Yasin berkata, pihaknya berharap peruntukan berkenaan dapat disalur segera untuk penyelesaian jangka panjang.

Katanya, pihaknya sedia maklum runtuhan itu yang sudah berlarutan sejak 2022 sehingga terbentuknya kawah yang agak besar akibat daripada aliran air hujan serta hakisan tanah.

“Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah beberapa kali turun padang melawat lokasi dan kita juga sudah pun memohon peruntukan daripada JKR dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk membaiki kawasan terbabit.

“Cuma sampai sekarang peruntukan yang diperlukan belum lagi dapat. Peruntukan yang dipohon agak besar iaitu kira-kira RM2.3 juta bagi memastikan masalah ini dapat diatasi sepenuhnya.

“Bagi pihak kerajaan negeri kita akan kejar lagi (kelulusan peruntukan),” katanya yang mengulas laporan Harian Metro semalam mengenai kebimbangan penduduk berhubung runtuhan di Taman Lipat Kajang Perdana, di sini.

Rais berkata, pihaknya berharap penduduk memberikan ruang untuk mencari penyelesaian bagi memastikan masalah runtuhan tidak berulang.

“Diharap penduduk bagi ruang dan saya akan pastikan perkara ini dapat diatasi. Cuma peruntukan itu agak besar untuk kita baiki keseluruhan,” katanya yang berharap menerima peruntukan penuh untuk penyelesaian penuh.

Katanya, ketika ini tindakan pencegahan untuk kawalan sudah dibuat oleh MPJ dengan membabitkan kos kira-kira RM50,000, namun ia tidak mencukupi untuk meredakan kerisauan penduduk.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top