RM1,000 untuk Penjawat Awam Kedah, Ahad Cuti Peristiwa

RM1,000 untuk Penjawat Awam Kedah, Ahad Cuti Peristiwa

am@hmetro.com.my

Alor Setar: Kerajaan negeri mengumumkan Bantuan Khas Aidilfitri sebanyak RM1,000 kepada semua penjawat awam di Kedah dengan pembayarannya sudah dikreditkan ke akaun bank kakitangan yang layak.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata wang bantuan itu dibayar bersama gaji penjawat awam negeri yang diterima mereka baru-baru ini.

“Bonus raya penjawat awam negeri sudah dikreditkan sekali dengan gaji baru-baru ini. Semua ini membabitkan 5,600 kakitangan dengan peruntukan sebanyak RM5.6 juta.

“Kita juga sudah beri sumbangan kepada mangsa banjir sebanyak RM500, iaitu kepada 13,000 ketua isi rumah (KIR) dengan peruntukan RM6.5 juta, manakala ganjaran sukan pula RM316,000. Semua ini sumbangan yang kita beri sempena Aidilfitri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Penyampaian Ganjaran kepada Atlet dan Pegawai sempena Temasya Para Asean Games Cambodia 2023, Sukma & Para Sukma XXI Sarawak 2024, dan Olimpik Paris 2024 di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Sementara itu, Muhammad Sanusi turut mengumumkan Ahad ini sebagai cuti peristiwa sempena Aidilfitri.

Muhammad Sanusi berkata, keputusan penetapan cuti peristiwa itu diputuskan pada Mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang berlangsung hari ini.

Katanya, langkah itu dibuat bagi memudahkan semua pihak melakukan persiapan raya selain memberi peluang orang ramai merancang perjalanan pulang ke kampung.

© New Straits Times Press (M) Bhd