RIYADH, Arab Saudi dipilih sebagai tuan rumah bagi edisi sulung Sukan Olimpik e-Sukan pada tahun 2027, umum Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) pada Selasa.
Keputusan itu menyaksikan kejohanan tersebut akan diadakan dua tahun lebih lewat daripada jangkaan asal iaitu November 2025, susulan perjanjian strategik antara IOC dengan Arab Saudi yang dimeterai tahun lalu.
IOC turut mendedahkan bahawa Yayasan Piala Dunia e-Sukan (EWCF) akan berperanan sebagai Rakan Pengasas bagi temasya itu.
EWCF akan menyumbang kepakaran dalam pemilihan permainan, struktur kejohanan, serta penglibatan ekosistem e-sukan bagi memacu inovasi dalam pembangunan Sukan Olimpik e-Sukan.
Sebagai rekod, EWCF bukanlah nama asing dalam dunia e-sukan, memandangkan mereka telah berjaya menganjurkan edisi pertama Piala Dunia e-Sukan di Riyadh tahun lalu.
IOC juga mengumumkan sebuah suruhanjaya khas yang terdiri daripada enam anggota – tiga wakil IOC dan tiga wakil Jawatankuasa Olimpik dan Paralimpik Arab Saudi (SOPC) – akan ditugaskan untuk menentukan senarai permainan yang akan dipertandingkan.
Namun, IOC menegaskan bahawa semua permainan yang dipilih mestilah selaras dengan nilai-nilai Olimpik.
Ini juga menimbulkan persoalan sama ada permainan berunsur keganasan seperti permainan tembakan akan dimasukkan ke dalam temasya tersebut.
Pengumuman itu dibuat hanya dua hari selepas delegasi IOC, diketuai oleh Presiden IOC, Thomas Bach yang bakal bersara mengadakan pertemuan dengan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman, serta beberapa pegawai kanan di Riyadh.
Pertemuan itu dilihat sebagai langkah penting dalam memperkukuh kerjasama antara IOC dan Arab Saudi, terutama dalam memastikan kejayaan temasya e-sukan pertama dalam sejarah Olimpik.
Dengan penganjuran Sukan Olimpik e-Sukan ini, Arab Saudi terus menegaskan kedudukannya sebagai hab global bagi sukan elektronik, sekali gus membuka lembaran baharu dalam dunia sukan moden.
Temasya ini dijangka menarik minat jutaan peminat e-sukan dari seluruh dunia, menjadikannya sebagai acara yang dinanti-nantikan dalam kalangan generasi muda.
Sukan Olimpik e-Sukan 2027 di Riyadh bukan sahaja akan menjadi sejarah, malah ia juga diharapkan dapat mengukuhkan lagi hubungan antara sukan tradisional dan sukan elektronik, sambil mempromosikan nilai-nilai Olimpik dalam era digital.