Ringgit ditutup tinggi selepas membetulkan kedudukan terlebih jual

Ringgit ditutup tinggi selepas membetulkan kedudukan terlebih jual
Ringgit ditutup tinggi selepas membetulkan kedudukan terlebih jual

Ringgit ditutup lebih tinggi berbanding dolar AS pada Rabu apabila mata wang tempatan itu membetulkan kedudukannya selepas mengalami keadaan terlebih jual. Gambar hiasan

RINGGIT ditutup lebih tinggi berbanding dolar AS pada Rabu apabila mata wang tempatan itu membetulkan kedudukannya selepas mengalami keadaan terlebih jual.

Pada jam 6 petang, ringgit naik 145 mata peratusan kepada 4.4535/4600 berbanding dolar AS daripada 4.4680/4725 ketika ditutup pada Rabu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, mata wang tempatan itu mengalami kenaikan berselang-seli selepas berada dalam kedudukan terlebih jual untuk beberapa waktu.

“Ringgit telah berada dalam kedudukan terlebih jual berbanding dolar AS, jadi peniaga mungkin terdorong untuk mengubah kedudukan (beli) dalam ringgit,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata ringgit menunjukkan prestasi yang baik berbanding dolar AS walaupun laporan inflasi AS lebih tinggi daripada jangkaan, manakala Rizab Persekutuan (Federal Reserve) mengulangi pendiriannya untuk mengekalkan kadar faedah kerana tiada keperluan mendesak untuk mengurangkannya dalam jangka masa terdekat.

Inflasi keseluruhan AS dan indeks harga pengguna (IHP) teras pada Januari masing-masing meningkat 3.0 peratus dan 3.3 peratus, lebih tinggi berbanding anggaran konsensus iaitu 2.9 peratus dan 3.1 peratus.

Mohd Afzanizam berkata, tindakan Presiden AS Donald Trump untuk memulakan rundingan dengan Presiden Rusia Vladimir Putin bagi menamatkan perang di Ukraine mungkin memberikan rangsangan kepada sentimen pasaran memandangkan harga tenaga dijangka terkawal dengan baik, sekali gus mengurangkan kebimbangan mengenai peningkatan inflasi pada masa hadapan.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.8917/8961 daripada 2.9106/9137 ketika ditutup pada Rabu, tetapi jatuh berbanding euro kepada 4.6419/6487 daripada 4.6351/6398 dan susut berbanding pound Britain kepada 5.5615/5696 daripada 5.5613/5669 sebelumnya.

Mata wang tempatan itu juga diniagakan lebih tinggi berbanding mata wang di negara-negara ASEAN.

Ringgit meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 272.1/272.7 daripada 272.7/273.2 pada penutup Rabu, menokok berbanding peso Filipina kepada 7.67/7.68 daripada 7.68/7.69 dan bertambah berbanding dolar Singapura kepada 3.2999/3049 daripada 3.3028/3064 sebelumnya.

Bagaimanapun, ia susut berbanding baht Thailand kepada 13.1644/1906 daripada 13.0953/1151 semalam. – Bernama

Scroll to Top