Ringgit ditutup sedikit rendah

Ringgit ditutup sedikit rendah

RINGGIT ditutup sedikit rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Isnin, berikutan sentimen berhati-hati pasaran menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan (FOMC) AS yang dijadualkan pada 17 dan 18 Disember ini.

Pada jam 6 petang, mata wang tempatan turun kepada 4.4500/4550 berbanding dolar AS daripada 4.4475/4525 ketika ditutup Jumaat lepas, sekali gus meneruskan prestasi rendah bagi sesi keenam berturut-turut.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata, tumpuan minggu ini terarah kepada panduan masa hadapan oleh Rizab Persekutuan AS (Fed), dengan tinjauan berhati-hati untuk 2025 dilihat mengukuhkan dolar AS namun memberi tekanan negatif ke atas mata wang lain, termasuk ringgit.

“Minggu ini adalah tempoh penting bagi pasaran global, dengan mesyuarat beberapa bank pusat utama telah dijadualkan, terutamanya oleh Fed, yang dijangka mengurangkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas,” katanya.

Innes juga berkata, sektor peruncitan China menunjukkan tanda-tanda kelembapan, dengan pertumbuhan jualan tahun ke tahun pada November susut kepada 3.0 peratus.

Beliau berkata, prestasi itu merupakan yang terendah dalam tempoh tiga bulan dan penurunan ketara daripada 4.8 peratus pada Oktober.

“Ini menunjukkan kesan daripada langkah rangsangan China semakin berkurang dan menambah tekanan terhadap ringgit, memandangkan pergantungan Malaysia yang tinggi terhadap eksport ke negara itu,” katanya.

Ringgit didagangkan lebih rendah kebanyakannya berbanding beberapa mata wang utama.

Unit domestik susut berbanding pound British kepada 5.6301/6365 daripada 5.6203/6266, dan rendah berbanding euro kepada 4.6743/6795 daripada 4.6632/6684 ketika ditutup Jumaat lepas.

Bagaimanapun, ringgit naik berbanding yen Jepun kepada 2.8930/8964 daripada 2.8987/9022.

Ringgit juga diniagakan rendah kebanyakannya berbanding mata wang negara ASEAN.

Mata wang tempatan sedikit turun berbanding dolar Singapura kepada 3.2992/3032 daripada 3.2971/3011, dan rendah berbanding baht Thai kepada 13.0575/0795 daripada 13.0261/0472.

Ringgit lemaj berbanding rupiah Indonesia kepada 278.0/278.5 daripada 277.7/278.2 pada Jumaat lepas, namun meningkat berbanding peso Filipina kepada 7.58/7.60 daripada 7.60/7.62. – Bernama

Scroll to Top