Rindu dan doa buat ayah ku tak berpenghujung

Rindu dan doa buat ayah ku tak berpenghujung

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Kluang: Bagi melepaskan rindu, pelajar, Muhamad Sharul Niezam, 17, menziarah pusara bapanya, Muhamad Rasidi Puteh sebelum menjawab Ujian Bertutur Bahasa Inggeris (UBBI) Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Rabu lalu.

Menerusi video dimuat naik ibunya, Jusniati Safaruddin, 36, kelihatan Muhamad Sharul yang lengkap memakai baju sekolah duduk sambil menadah tangan berdoa dan sempat menyiram air di atas pusara sebelum beredar meninggalkan tanah perkuburan.

Muhamad Sharul Niezam berkata, dia dan dua adik beradiknya sering dibawa ke pusara bapanya berhampiran Tanah Perkuburan Islam Kampung Melayu, di sini.

“Sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu ibu akan bawa saya dengan adik-adik ziarah kubur ayah.

“Pada hari berkenaan, saya minta ibu bawa ke tanah perkuburan ayah berikutan ujian bertutur SPM dijadualkan pada jam 2 petang. Saya sangat ziarah kubur ayah sebelum ke sekolah.

“Saya membaca doa setiap kali menziarahi kubur ayah dan tak sedar ibu rakam (video). Selepas pulang dari sekolah, ibu beritahu video dimuat naiknya di TikTok dan syukur ramai doakan ayah di ruangan komen,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Bercerita lanjut, Muhamad Sharul Niezam berkata, bapanya, Muhamad Rasidi meninggal dunia pada 13 Februari lalu akibat paru-paru berair.

Sejak itu, Muhamad Sharul Niezam yang juga anak sulung daripada tiga beradik mengakui hidupnya sunyi dan kosong kerana terlalu rapat dengan bapa.

“Banyak kenangan dengan ayah malah kami berdua sangat rapat dan yang tak dapat dilupakan adalah setiap kali pergi memancing bersamanya.

“Arwah ayah memang rajin memasak. Dia sempat turunkan ilmu (memasak) kepada saya kerana katanya orang lelaki pun kena tahu buat kerja di dapur,” katanya.

Sebagai anak, Muhamad Sharul Niezam akan terus mendoakan bapanya dan melaksanakan tanggungjawab menjaga ibu serta dua adiknya seperti diamanahkan bapanya sebelum meninggal dunia.

Sementara itu, ibunya, Jusniati berkata, niatnya memuat naik video di TikTok adalah untuk dijadikan kenangan tanpa terfikir ia akan mendapat perhatian ramai hingga tular.

“Sebelum ini pun ada rakam video tapi setakat muat naik di status WhatsApp tapi entah kenapa tergerak kongsi video anak di pusara berkenaan di TikTok.

“Saya faham anak kerana dia memang rapat dengan ayahnya. Sebagai isteri, saya pun berat nak terima pemergian suami kerana hilang tempat bergantung ibarat patah kaki.

“Mana tidaknya, dulu suami menyara kami tapi kini saya kena cari duit sendiri untuk bayar sewa rumah, bil utiliti dan perbelanjaan anak,” katanya yang mencari rezeki sebagai pengasuh dan tukang urut.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top