Ribut tropika Nora badai Mexico, seorang maut – Utusan Digital

Ribut tropika Nora badai Mexico, seorang maut – Utusan Digital

MEXICO CITY: Ribut Tropika Nora yang membawa hujan lebat dan angin kencang terus membadai pantai pasifik Mexico sehingga menyebabkan banjir dan tanah runtuh.

Kejadian itu menyebabkan sekurang-kurangnya seorang maut di sebuah pusat peranginan popular di negara tersebut.

Lapor Al Jazeera, penduduk yang menetap di kawasan negeri Michoacan, Colima dan Jalisco mengalami hujan lebat dan ombak besar ketika ribut bergerak ke arah utara.

Menurut kerajaan Jalisco, seorang remaja dari Sepanyol maut selepas sebahagian bangunan hotel runtuh di pekan Puerto Vallarta di tengah-tengah banjir apabila ribut Nora melepasi bandar pelancongan itu sebagai taufan kategori satu.

Jelas pihak berkuasa, ahli keluarga mangsa yang lain sempat menyelamatkan diri sebelum insiden runtuhan itu.

“Tragedi ini disebabkan runtuhan hotel di pusat bandar Puerto Vallarta akibat limpahan Sungai Cuale.

“Saya mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam kejadian itu,” kata Datuk Bandar Jalisco, Enrique Alfaro.

Seorang wanita dilaporkan hilang selepas kereta yang dipandunya dihanyutkan arus deras.

Menurut pihak berkuasa, banjir melanda kawasan tersebut telah memusnahkan kira-kira 500 rumah.

Dilaporkan, dua orang mengalami kecederaaan dalam insiden tanah runtuh.

Enam nelayan dari negeri Guerrero juga dilaporkan hilang di laut. – AGENSI

Scroll to Top