
Ombak memecah dinding laut di Carnlough di pantai timur utara Ireland Utara pada awal pagi Jumaat, ketika ribut Eowyn membawa angin 100 mph ke UK dan Ireland – Foto: AFP
LONDON – Gangguan perjalanan yang teruk dialami United Kingdom (UK) dan Ireland, dengan penerbangan dan perkhidmatan kereta api dibatalkan dan sekolah ditutup ketika Ribut Eowyn yang kuat melanda kawasan itu.
Jutaan penduduk dinasihatkan untuk tinggal di rumah dan menangguhkan perjalanan, lapor Agensi Anadolu (AA).
Agensi cuaca UK mengeluarkan amaran tahap merah yang jarang berlaku untuk angin, memberi amaran tentang “bahaya kepada nyawa” di Ireland Utara dan sebahagian Scotland.
Ireland Utara dan Scotland mengalami keadaan terburuk, dengan angin kencang sehingga 161 km/j (100 mph) diramalkan di beberapa kawasan pantai. Sesi persekolahan terjejas teruk, termasuk penutupan penuh di Glasgow dan Edinburgh.
Perjalanan udara turut terjejas teruk, dengan lebih 30 penerbangan dibatalkan di Lapangan Terbang Heathrow London dan 28 di Lapangan Terbang Edinburgh. Sebanyak 18 pembatalan melibatkan Lapangan Terbang Glasgow manakala Lapangan Terbang George Best Belfast City membatalkan 14 penerbangan.
Pengendali kereta api – National Rail mengeluarkan amaran kepada penumpang tentang gangguan yang teruk, menasihatkan agar tidak melakukan perjalanan merentasi Scotland dan sebahagian besar utara England pada Jumaat.
Ireland juga menghadapi antara ribut paling dahsyat dalam sejarah. Jabatan Meteorologi Ireland mengeluarkan amaran angin tahap merah untuk seluruh negara.
Pada jam 5 pagi waktu tempatan (GMT), angin sekencang 183 km/j direkodkan di Mace Head, Galway – yang paling kencang pernah dicatatkan di Ireland.
Pada masa ini, kira-kira 560,000 kediaman dan premis perniagaan terputus bekalan elektrik di seluruh negara. Gangguan perjalanan berterusan dengan lebih daripada 30 penerbangan dibatalkan di Lapangan Terbang Dublin. – Bernama