RHB perkenal RHB PayLater

RHB perkenal RHB PayLater

kartika@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: RHB Banking Group (RHB), memperkenalkan RHB PayLater, penyelesaian ‘beli sekarang, bayar kemudian’ (BNPL) pertama di Malaysia yang dipautkan terus kepada kad debit, membolehkan pelanggan menikmati pelan ansuran tanpa faedah dengan lebih mudah dan fleksibel.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Mohd Rashid Mohamad berkata, pelancaran RHB PayLater mencerminkan komitmen bank itu dalam menawarkan inovasi kewangan yang bertanggungjawab serta memberi lebih kemudahan kepada pelanggan.

“Dengan penyelesaian ini, RHB Bank memberi kuasa kepada pelanggan untuk membuat keputusan kewangan lebih bijak sambil menikmati kemudahan dan fleksibiliti yang besar.

“Inisiatif ini bukan sekadar menawarkan pilihan pembayaran, ia juga membantu membina daya tahan kewangan, memberi ganjaran kepada kesetiaan pelanggan serta menyumbang kepada pertumbuhan mampan individu dan komuniti,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, dengan menggunakan analisis tingkah laku transaksi pelanggan sebagai kriteria kelayakan, RHB PayLater menjanjikan akses lebih inklusif kepada perkhidmatan kewangan, sekali gus menggalakkan perbelanjaan yang lebih berhemat.

Inisiatif ini menyasarkan lebih 500,000 pelanggan akaun simpanan dan semasa (Casa) RHB Bank yang mendapat pra-kelayakan berdasarkan aktiviti akaun mereka, termasuk deposit, transaksi dan corak simpanan.

Dengan kaedah ini, pelanggan tidak perlu membuat permohonan tambahan untuk menikmati kemudahan terbabit.

Selain itu, melalui RHB PayLater, pelanggan boleh membeli barangan dan perkhidmatan bernilai tinggi secara ansuran yang lebih mudah diurus, mengurangkan beban kos pendahuluan yang besar.

Katanya, melalui kerjasama dengan hampir 30 peniaga merangkumi lebih 1,000 cawangan di seluruh negara, pelanggan boleh menikmati pengalaman membeli-belah yang lebih mampu milik dan selesa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top