Rezeki tak putus sejak amal wakaf

Rezeki tak putus sejak amal wakaf

lokman.khairi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Rezeki murah dan hidup terasa tenang. Itu nikmat diperoleh individu yang tidak henti-henti mengamalkan wakaf sejak beberapa tahun lalu.

Berkongsi pengalaman, pesara guru, Mazlah Bujang, 63, dari Sungai Buloh, Selangor berkata, dia mula berurusan dengan Yayasan Wakaf Malaysia sejak terbaca mengenai entiti wakaf kebangsaan itu melalui media sosial lima tahun lalu.

Menurutnya, sejak itu dia bertekad menggunakan sebahagian wang pencennya dengan melaksanakan amalan wakaf antaranya wakaf air, sijil wakaf tunai kesihatan, sijil wakaf tunai pendidikan dan al-Quran untuk mengumpul saham akhirat.

“Saya peruntukkan sekurang-kurangnya RM500 sebulan daripada wang pencen untuk diwakafkan.

“Selain itu, saya juga wakafkan wang atas nama arwah ibu bapa sebagai saham akhirat mereka.

“Saya anggap itu sebagai tanggungjawab dan usaha balas jasa mereka.

“Bila saya berwakaf, saya tengok penerima manfaat wakaf gembira, jadi saya pun turut rasa gembira kerana dapat bantu mereka,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Bercerita mengenai kelebihan amalan wakaf, ibu empat anak itu berkata, biarpun pendapatannya sederhana sahaja, namun dia sentiasa berasa cukup dan kehidupannya bersama keluarga lebih tenang selepas mengamalkan wakaf.

“Sebab pertama saya berwakaf ini hendak dapat keredaan Allah, moga Allah turunkan rahmat-Nya kepada saya, suami dan keluarga, pelihara anak-anak saya dan murahkan rezeki mereka.

“Alhamdulillah, Allah penuhi hajat saya antaranya anak-anak mudah dapat kerja.

“Sebelum bersara dahulu, saya diserang penyakit misteri yang mengakibatkan rasa sakit-sakit badan. Saya doa kepada Allah supaya sembuh dan syukur sekarang kesihatan saya semakin baik,” katanya.

Pesara jururawat, Hamimah Samian, 68, dari Batu Pahat, Johor berkata, dia mula berwakaf sejak 2010 selepas terbaca maklumat berhubung manfaat wakaf di akhbar tempatan dan tidak teragak-agak melaksanakan wakaf menerusi potongan gaji setiap bulan.

Menurutnya, ketika itu hatinya tertarik untuk melaksanakan ibadah berkenaan atas niat mahu menyumbang dan membantu golongan memerlukan.

“Antara kategori produk wakaf yang saya sudah lakukan ialah wakaf air, sijil wakaf tunai kesihatan, sijil wakaf tunai pendidikan serta myWaqafPTPTN.

Menurutnya, sepanjang lebih 14 tahun berwakaf, meskipun sentiasa mengeluarkan wang, namun rezeki yang diperoleh sentiasa mencukupi.

“Mungkin ini antara hikmah berwakaf. Langsung tiada rasa wakaf itu bebanan.

“Jika dalam tempoh sebulan belum melaksanakan wakaf, saya rasa seperti ada yang tidak lengkap dalam hidup.

“Lebih membanggakan kelima-lima anak saya yang bekerjaya turut mengikut jejak langkah untuk istiqamah berwakaf setiap bulan,” katanya.

Seorang lagi pewakaf, Ezwan Mokhtar, 45, yang juga pengasas sebuah syarikat latihan dan konsultasi di Mantin, Negeri Sembilan pernah berdepan situasi sukar dalam perniagaannya sebelum ini.

“Pada 2010, saya ceburi bidang perniagaan berasaskan kejuruteraan, biasalah adat berniaga ini ada turun naik. Namun pada 2014, itu memang tahun kejatuhan.

“Saya mencari-cari solusi untuk bangkit semula, selepas itu saya terlihat iklan wakaf di media sosial dan hati saya terdetik bahawa jika kita memberi, insya-Allah Allah akan bantu kita.

“Sejak dari 2014, saya mula berwakaf dan saya nampak perubahan hidup dari hari ke hari menjadi lebih baik.

“Rezeki itu tak putus-putus hinggalah sekarang, Alhamdulillah,” kata bapa kepada lima anak itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top