Rezeki Mamat di Makkah

Rezeki Mamat di Makkah

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelawak, Mamat Sepah, 40, yang kini mengerjakan umrah bersama isterinya, Nordiana Ibrahim, memaklumkan berusaha menunaikan impian isterinya yang berniat mahu memeluk dan mencium Kaabah.

Bagaimanapun tanpa disedari, dia mengalami luka pada bahagian kanan pinggang dipercayai tercucuk objek tajam.

“Kejadian itu berlaku dekat Hajarul Aswad berikutan sikap segelintir jemaah yang kasar baik lelaki atau wanita.

“Jadi, bila isteri dapat cium Kaabah, ada tolak-menolak berlaku. Sekejap kami ditolak ke depan dan ke belakang.

“Akhirnya saya dan isteri dapat pegang betul-betul tempat orang mencium Hajarul Aswad,” katanya kepada Harian Metro.

Mamat berkata, mereka tersekat dan tidak mampu untuk bergerak ke depan lagi kerana boleh membahayakan mereka.

“Apabila saya toleh saja, terus kena tikam. Saya terus menjerit kesakitan. Rasanya mungkin mereka tak sengaja, ada gunting dalam beg untuk buat tahalul.

“Sesudah keluar dari Masjidil Haram, saya tengok ada darah kat badan, isteri saya pula dah perasan ada darah sejak awal lagi.

“Malam apabila balik bilik, waktu nak tidur saya tengok ada luka kat pinggang. Saya pergi jumpa doktor untuk rawatan oleh agensi umrah. Ada sikit koyak di situ,” katanya.

Mamat yang kali kedua mengerjakan umrah selepas kali pertama melakukannya 10 tahun lalu berkata, dia juga melalui pengalaman baharu bersama Shuib semalam.

“Kami buat tawaf sunat tawaf. Selepas itu saya cakap nak mengaji, solat sunat dan sebagainya. Sedang saya bersama isteri dan Shuib duduk melepak, dia tiba-tiba nak pergi ke Rukun Yamani dengan anaknya, Mateen.

“Saya biarkan mereka dan terus mengaji. Isteri saya pula duduk tempat orang tawaf. Selepas itu Shuib datang ajak saya untuk cium Multazam di tepi pintu Kaabah,” katanya.

Mamat berkata, Shuib memberitahunya semasa Nabi Muhammad SAW datang ke Kaabah, baginda melekatkan badannya di situ.

“Baginda berdoa, insya-Allah doa itu akan dimakbulkan. Jadi Shuib nak kami buat begitu. Tempat itu memang orang berebut-rebut.

“Dekat situlah kami cuba untuk melekatkan badan di situ. Maklumlah nak ambil berkat Nabi Muhammad SAW.

“Alhamdulilah Allah izinkan. Kami pasang niat dan berdoa di situ,” katanya.

Mereka bertolak pada Khamis lalu dan ditaja sepenuhnya oleh Nuh Travel & Tours Sdn Bhd.

Β© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top