Rezeki kongsi RM100,000

Rezeki kongsi RM100,000

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Serdang: Lima individu berkongsi wang tunai RM100,000 selaku pemenang Peraduan Kita Kasi Nama yang dianjurkan oleh Farm Fresh Berhad bagi mencari nama baharu produk Farm Fresh Choco Malt.

Lima pemenang yang dipilih ialah Hasli Amri Abdul Samad, Noor Lubna Ismail, Mohd Adib Ramli, Fatin Farhana Mazalan, dan Nur Intan Haslina Mohd Aris.

Pengarah Farm Fresh, Azmi Zainal, berkata pihaknya mengadakan peraduan itu bagi mendapatkan nama yang sesuai bagi produk berkenaan.

“Kita mahu tukar nama asal produk ini, iaitu Choco Malt, kerana ia adalah nama umum yang semua orang boleh pakai, sekali gus menjadikannya tiada identiti.

“Justeru itu, kita mahu rakyat Malaysia untuk bersama-sama dalam pembinaan produk ini yang akan menjadi kegemaran ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pengumuman Pemenang Peraduan Kita Kasi Nama di Farm Fresh, di sini, hari ini.

Azmi berkata, pihaknya menerima ribuan penyertaan dalam peraduan itu sebelum mencapai keputusan memilih nama Farm Fresh Moola Choco Malt.

“Selepas tarikh tutup penyertaan, kita buat senarai pendek dari 50 hingga lima nama terakhir. Apa yang penting bagi nama yang dipilih ialah ia boleh didaftarkan (hak cipta).

“Nama Moola dipilih kerana ia unik dan mudah diingati oleh orang ramai. Saya sendiri terkejut apabila lima pemenang hari ini, kesemuanya memberi nama unik ini (Moola) yang menobatkan mereka sebagai pemenang.

“Seperti dijanjikan, saya mahu pemenang peraduan ini menerima hadiah sebelum Aidilfitri. Besar ertinya hadiah ini kepada mereka, yang masing-masing mendapat wang tunai RM20,000,” katanya.

Dengan pengumuman nama baharu itu, katanya, pihak Farm Fresh dalam proses peralihan penggunaan bungkusan baharu yang akan bermula pada Mei nanti.

“Setakat ini, kita akan habiskan bungkusan lama sebelum mula mencetak bungkusan baharu pada Mei ini.

“Selain mahu menghasilkan produk yang sedap, kita juga mahu menghasilkan produk berkhasiat dan sihat. Produk ini adalah berkhasiat dan kurang manis, yang sesuai untuk diamalkan oleh seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top