Rezeki ikan kelah 3kg

Rezeki ikan kelah 3kg

am@hmetro.com.my

Tampin: Bagai bulan jatuh ke riba. Itulah tuah nelayan, Mohd Fadzilah Kadir, 60, apabila berjaya memancing ikan kelah seberat lebih kurang tiga kilogram kemudian dibeli seorang individu pada harga RM1,800.

Fadzilah dari Kampung Pasir Besar berkata, ini kali pertama sepanjang 40 tahun menjadi nelayan dia berjaya memancing ikan kelah, menjadikannya tangkapan paling bernilai dalam hidupnya.

“Saya memancing di sungai terletak lebih kurang 100 meter dari rumah pada 9 pagi tadi. Ini diumpamakan seperti cencaru makan petang, memang tidak sangka hampir satu jam memancing, tiba-tiba ikan kelah menyambar umpan.

“Memang terasa berat apabila mahu menaikkan ikan ini, ingatkan ikan keli atau baung, tak sangka pula ia adalah ikan kelah. Saya anggap ia sebagai rezeki menjelang Aidilfitri,” katanya ketiak ditemui, hari ini.

Mohd Fadzilah berkata, ikan kelah itu dibeli seorang individu dari Gemencheh yang datang ke rumah sebaik mengetahui dia berjaya memancing ikan berkenaan.

“Duit jualan ikan ini akan digunakan bagi membeli keperluan hari raya, malah hasil jualan ini cukup besar maknanya bagi saya apatah lagi menjelang ketibaan Aidilfitri tidak lama lagi.

“Alhamdulillah, memang tidak sangka ia betul-betul rezeki saya. Biarpun joran patah disebabkan ikan kelah itu berat, namun saya tidak kisah,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top