Rezeki husna mencurah

Rezeki husna mencurah

mohamadridzuan@hmetro.com.my

DRAMA bersiri Rona Bosphorus karya Ustaz Dr Zaid Akhtar yang diadaptasi dari novel pemenang Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2002, ternyata menjadi pembuka tirai 2025 yang positif buat pelakon, Husna Mustaffa.

Husna, 38, yang melakonkan watak Amal Hayati bergandingan dengan Syafi Tee sebagai Afham diterima baik oleh peminat sekali gus meletakkan drama yang baharu saja selesai tayangan di TV Okey ini mencatat ‘rating’ yang amat baik.

Husna berkata, drama yang menjalani penggambaran di Turkiye ini mencatat sejarah tersendiri sepanjang kariernya sebagai pelakon.

“Alhamdulillah, sambutan yang kami dapat sangat baik dan luar biasa. Malah, masa mula-mula saya dapat skrip dan bila baca, saya harap Rona Bosphorus dapat sambutan sebab jalan cerita yang baik.

“Saya tak jangka penerimaannya lebih dari yang saya bayangkan kerana penonton bukan hadir dari Malaysia tetapi negara luar pun turut mengikutinya,” katanya.

Lebih daripada itu, Husna membuktikan status sebagai isteri tidak pernah menghalangnya untuk terus aktif berlakon dan paling membanggakan diberi kepercayaan melakonkan watak utama.

“Saya rasa benda ini bukan satu isu yang perlu diperkatakan lagi. Apa yang perlu dipandang adalah hasil kerja dari pelakon itu sendiri. Yang penting kita boleh bagi komitmen dan menepati kriteria watak.

“Di lokasi pula, saya bergaul dan baik dengan semua orang yang bekerja dengan saya secara sama rata. Alhamdulillah, pelakon yang bekerja dengan saya semuanya profesional.

“Berkenaan had pergaulan, kami hanya berinteraksi waktu bekerja dan berbual mengenai kerja saja. Rona Bhosporus adalah sebuah drama patuh syariah. Pada saya drama begini perlu diperbanyakkan lagi kerana sesuai ditonton oleh semua lapisan masyarakat,” katanya.

Husna atau nama sebenarnya, Sharifah Husna Syed Mustaffa yang juga model peragaan tudung dan baju menjelaskan, sangat bersyukur kerana tidak henti-henti menerima tawaran berlakon.

“Saya baru saja habis penggambaran telefilem RTM berjudul Air Mata Terakhir dan sekarang baharu memulakan penggambaran untuk telefilem juga untuk RTM berjudul Bayu Rindu.

“Pada masa sama, saya juga menguruskan perniagaan kopi dengan jenama Kopi Abah Kaw. Berkenaan populariti, saya kurang pasti kerana boleh dikatakan masih baru juga dalam bidang lakonan.

“Mungkin ada yang kenal mungkin ada yang tidak. Cuma dari awal saya masuk bidang ini, saya memang tidak fokuskan pada populariti. Keinginan saya lebih kepada menerokai bidang lakonan iaitu dengan mengkaji karya atau watak yang diberi,” katanya.

Husna membayangkan keinginan untuk membawa watak psiko selepas ini contohnya seperti ‘split identity’ dan bipolar.

Ā© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top