ISLAM amat menggalakkan umatnya menceburkan diri dalam bidang perniagaan serta keusahawanan dan contohnya boleh dilihat pada diri Rasulullah SAW yang sememangnya dikenali sebagai seorang peniaga yang berjaya lagi bijaksana.
Baginda membantu bapa saudaranya, Abu Talib menjalankan kegiatan perniagaan selain menguruskan harta perniagaan isterinya, Khadijah RA.
Begitu juga contoh yang ditunjukkan oleh para sahabat Baginda seperti Abu Bakar, Uthman bin Affan, Abdul Rahman bin Auf RA dan ramai lagi.
“Perniagaan adalah sebahagian daripada pekerjaan yang murni. Jika ia dilaksanakan dengan jujur dan amanah, maka ia akan membuahkan pendapatan yang halal dan limpahan keberkatan ALLAH SWT,” ujar khatib pada permulaan khutbah Jumaat.
Khutbah Jumaat bertajuk Islam dan keusahawanan itu diterbitkan Jabatan Agama Islam Perak dan dibacakan khatib di seluruh negeri itu baru-baru ini.
Berniaga pekerjaan paling baik
Menurut khatib, Rasulullah SAW memuji para peniaga yang jujur dan beramanah seperti sabda Baginda: “Peniaga yang jujur dan beramanah akan dihimpunkan bersama para nabi, orang-orang yang benar, para syuhada dan orang-orang soleh.” (Hadis Riwayat At-Tirmizi)
Ujar khatib, peniaga dan usahawan merupakan orang yang melakukan kerja sendiri untuk mendapatkan pendapatan dan bukannya pekerja yang dibayar upah atau gaji oleh majikan.

PENIAGA yang jujur dan amanah akan menatijahkan hasil yang halal lagi diberkati. Foto Bernama
Bekerja dengan usaha sendiri merupakan sebaik-baik pekerjaan. Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW ditanyakan mengenai apakah pekerjaan yang paling baik dan Baginda bersabda: “Pekerjaan seseorang dengan tangannya sendiri dan setiap perniagaan yang baik.” (Hadis Riwayat At-Tabaroni)
Mimbar kemudiannya mengutarakan beberapa perkara dalam menjayakan program keusahawanan:
1 – Kesedaran dan minat masyarakat dalam perniagaan dan keusahawanan wajar dipupuk serta dipertingkatkan.
Umat Islam hendaklah disedarkan untuk mengusahakan tanah-tanah terbiar, mengenal pasti dan merebut peluang-peluang perniagaan dalam industri kecil dan sederhana; bidang-bidang hartanah dan perumahan; pembuatan, pertanian, ternakan dan perikanan; makanan dan minuman; penginapan dan sewaan; pelancongan, kesihatan, pengangkutan, pakaian dan fesyen; perkhidmatan dan urus niaga dalam talian.
Menurut khatib, perniagaan dan keusahawanan yang berdaya maju menatijahkan keuntungan serta pendapatan lumayan.
“Ini membolehkan ummah bukan sahaja keluar daripada kelompok kemiskinan, malah berupaya meletakkan ummah mencapai taraf masyarakat menengah atas dan masyarakat berpendapatan tinggi,” katanya.
2 – Saling membantu dalam mengukuhkan jaringan perniagaan sesama umat Islam.
Usahawan dan syarikat perniagaan yang berjaya sewajarnya membantu usahawan dan peniaga yang baru menceburi bidang keusahawanan selain menjauhi sifat hasad dengki, adu domba, khianat, penipuan dan penyelewengan.
3 – Sentiasa menambah pengetahuan dalam bidang keusahawanan dan perniagaan.
Mempelajari ilmu pengurusan perniagaan, pengurusan risiko, penguasaan teknologi, perakaunan, kewangan, pemasaran, pengiklanan, jaringan perniagaan dan pelbagai lagi.

PENGUSAHA yang berdaya maju dan tidak mudah mengalah serta tidak berputus asa. Foto Canva
Bersedia menghadiri kursus-kursus serta bertanya kepada mereka yang telah berjaya, bijak merebut peluang yang ditawarkan oleh pelbagai agensi sama ada kerajaan atau swasta di samping menjadi seorang pengusaha yang berdaya maju dan tidak mudah mengalah serta tidak berputus asa.
4 – Islam sebagai agama yang menjadi rahmat ke seluruh alam, menggariskan beberapa nilai dan etika yang mesti dipatuhi.
Pesan khatib:
– Jangan sama sekali seorang Muslim terlibat mengusahakan perniagaan yang haram seperti penjualan arak, penjualan barang-barang yang diseludup, perniagaan berbentuk judi serta pusat-pusat hiburan yang menjalankan kegiatan bercanggah dengan hukum syarak.
– Janganlah seorang peniaga dan usahawan Muslim bersifat menipu, menyembunyikan barangan dengan niat mahu mengaut keuntungan berganda.
– Seorang Muslim juga tidak seharusnya bersifat melampau apabila meletakkan harga, apatah lagi dengan sedar tidak menghiraukan kawalan harga yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.
– Seorang peniaga Muslim akan ikhlas dan telus mengisytiharkan keuntungan, jujur membayar cukai perniagaan daripada keuntungan, juga ikhlas menunaikan zakat.
– Seorang peniaga Muslim juga tidak akan dilalaikan dengan kesibukan perniagaan atau terlalu taksub mencari untung hingga alpa memenuhi tuntutan-tuntutan ibadah fardu ain yang diwajibkan seperti solat, puasa, zakat dan haji.
5 – Masjid, surau, madrasah, maahad tahfiz dan pelbagai institusi pendidikan berperanan dalam menjayakan aktiviti keusahawanan.
Ujar khatib, jadikan contoh ikutan kejayaan yang dicapai oleh beberapa buah koperasi di beberapa buah masjid dan maahad tahfiz di Perak.

BEKERJA sendiri merupakan sebaik-baik pekerjaan dan Rasulullah SAW memuji peniaga yang jujur serta amanah. Foto Bernama
“Melalui koperasi, banyak peluang perniagaan boleh dicetuskan dengan memberi keutamaan kepada produk yang halal lagi suci.
“Ummah mesti menyokong dan membantu perniagaan yang diusahakan oleh pihak koperasi dengan menjadi ahli, pelanggan dan pembeli,” katanya.
6 – Peniaga berjaya melaksanakan zakat seterusnya bantu peniaga lain.
Peniaga, usahawan dan institusi perniagaan yang berjaya memperoleh keuntungan hendaklah menyempurnakan kewajipan berzakat di samping membantu dan berkongsi kejayaan dengan para usahawan yang lain.
*Teks khutbah Jumaat diterbitkan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) melalui laman web rasmi jabatan berkenaan.