Rezeki aksi atas pentas

Rezeki aksi atas pentas

norhayati_nordin@hmetro.com.my

SEBUT saja mengenai kemahiran seni mempertahankan diri, pastinya silat yang sering muncul di fikiran. Apatah lagi, baru-baru ini hangat diperkatakan industri kekurangan pelapis pelakon yang tahu bersilat.

Justeru, pelakon Adam Shahz, 43, mengakui dia gembira dan teruja apabila diberi peluang bersilat di pentas teater Dang Anum (The Untold Story), selain mula diintai oleh penerbit dan pengarah bergenre aksi.

“Alhamdulillah, rezeki berlakon masih ada lagi, cuma tidak semua tawaran untuk bersilat saya terima. Ada juga tawaran yang saya terpaksa tolak kerana tidak mahu merosakkan karya orang apabila gerakan (silat) saya sumbang.

“Namun, peluang saya bersilat di pentas teater ini adalah susulan daripada persembahan yang saya pernah buat dalam teater Dang Anum, tahun lalu. Jadi, bolehlah sikit-sikit (bersilat),” katanya.

Mengakui dia juga belum bersedia untuk bersilat di dalam filem, Adam memberitahu, ketika ini dia mengikuti pengajian ilmu seni silat gayong bersama pelakon filem Geran, Lekiu Qohar.

“Saya bukanlah seorang pesilat, tapi setiap kali latihan mesti saya akan berkongsi klip video ketika berlatih (silat) di media sosial untuk melihat maklum balas mereka yang pakar.

“Malah, ada juga rakan artis yang handal bersilat seperti Fad Anuar, memuji gerak silat saya sebab nampak ‘authentic’ dan tidak sumbang sebagaimana ketika mula belajar dulu,” katanya.

Adam yang membawa watak sebagai Tun Bija Ali dalam teater Dang Anum (The Untold Story) berkata, langkah sumbang atau tidak seorang pesilat adalah bergantung kepada individu yang mengajar ‘bunga’ silat itu.

“Apapun, saya bersyukur kerana banyak ilmu gerak silat untuk saya persembahkan di pentas teater Dang Anum (The Untold Story) dipelajari dengan rakan pelakon berpengalaman iaitu Md Husin.

“Hasil koreografer silat daripadanya (Md Husin) memang boleh nampak seakan saya ini seorang yang pandai bersilat,” katanya.

Dalam pada itu, pengarah teater, Amirul Haswendy Ashari berharap teater Dang Anum (The Untold Story) kali ini dapat menarik minat lebih ramai penonton dari pelbagai latar belakang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top