am@hmetro.com.my
Alor Setar: Sebuah restoran nasi kandar di Lebuhraya Sultanah Bahiyah, di sini diarah ditutup serta-merta selama 14 hari kerana gagal mematuhi tahap kebersihan yang memuaskan semalam.
Operasi itu disertai Bahagian Inspektorat Kesihatan dan Bahagian Penguatkuasaan dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kota Setar.
Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Abdul Gafar Yahya berkata, pemeriksaan itu dilakukan selepas pihaknya menerima aduan awam berhubung kesalahan yang dilakukan.
Beliau berkata, antara kesalahan itu adalah kekotoran di bahagian belakang premis, tiada perangkap minyak untuk penapisan sisa buangan makanan, dua pekerja tidak memiliki suntikan kesihatan serta tong sampah tidak tertutup sewaktu mengendalikan makanan dan kekotoran dalam premis.
“Berikutan itu, MBAS mengeluarkan enam kompaun atas kesalahan itu, sementara Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar turut mengeluarkan tiga kompaun atas kesalahan berpakaian tidak lengkap semasa mengendali makanan.
“Arahan penutupan premis selama 14 hari dikeluarkan serta-merta bagi pemilik premis itu membersihkan premis berkenaan,” katanya di sini hari ini.
Abdul Gafar berkata, operasi pemeriksaan secara berkala secara berjadual akan diteruskan dari semasa ke semasa.
Beliau menasihatkan semua pemilik premis atau peniaga supaya sentiasa mematuhi sepenuhnya peraturan-peraturan yang sudah ditetapkan.
© New Straits Times Press (M) Bhd