Restoran mamak bertukar jadi 'stadium mini'

Restoran mamak bertukar jadi 'stadium mini'

ferzalfie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Restoran mamak yang sebelum ini hanya menjadi tempat pelanggan menjamu selera dan melepak bersama rakan-rakan atau keluarga tiba-tiba bertukar menjadi ‘stadium mini’ malam semalam.

Ini semua disebabkan penangan perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia yang bertarung untuk mendapatkan pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 dan peminat setia badminton tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan pertarungan bermaruah itu untuk dijadikan bahan sejarah peribadi.

Bertempat di salah sebuah restoran mamak di Setapak pelbagai kaum tidak kira lapisan umur berhimpun untuk menyaksikan perlawanan terakhir skuad badminton negara di Paris 2024 dengan harapan lawan Zii Jia dari India, Lakshya Sen harus ditumbangkan tidak kira apa cara sekali pun.

Walaupun jarak sejauh 10,500 kilometer antara Kuala Lumpur ke Paris sokongan padu rakyat Malaysia terutama di restoran berkenaan seolah-olah dapat didengari oleh Zii Jia yang sangat memerlukan tenaga tambahan.

@newswav This heartwarming event at the Mamak in Setapak not only highlighted the unity and passion of Malaysians but also reinforced the idea that sports have the power to transcend barriers and bring people together #leeziijia #badminton #sports #olympics #olympics2024 #parisolympics2024 #parisolympics #malaysiaboleh #malaysianews #viralnews #viralnewsmalaysia #fypmalaysia ♬ original sound – Newswav

Biarpun tumbang di set pertama, pelanggan di restoran berkenaan yakin bahawa malam semalam adalah milik negara dan laungan ‘Malaysia Boleh’ bergema membuatkan pekerja asing di restoran berkenaan terpaku.

Berselang-seli dengan laungan ‘Malaysia Lets Go’ ia membuktikan bahawa rakyat Malaysia sentiasa berada di belakang pemain kelahiran Kedah itu sepanjang perlawanan dan ia dapat dilihat sendiri dalam video berdurasi 37 saat itu yang dimuatnaik akaun TikTok Newswav.

Memasuki hujung saingan pelanggan seakan-akan memberikan tenaga tambahan buat Zii Jia apabila setiap pukulan yang dilakukannya disorak dengan penuh bersemangat sehingga menoktahkan aksi bahawa gangsa badminton perseorangan lelaki Paris 2024 miliknya.

Keraian itu belum berakhir dengan penonton berdiri dan bertepuk tangan menyambut kemenangan sebaliknya diikuti dengan tembakan bunga api serta-merta seakan memberi isyarat bahawa tidak ada siapa boleh menghalang malam pesta rakyat Malaysia terutama penduduk sekitar Setapak.

Pemain nombor enam dunia itu bangkit daripada tewas set pertama 13-21 sebelum meraih kemenangan 21-16, 21-11 ke atas Lakshya untuk pingat kedua negara di Paris 2024.

Ini menyaksikan Zii Jia memperbaiki pencapaian di Sukan Olimpik Tokyo di mana dia berjaya mara sehingga ke pusingan 16 sebelum tewas di tangan pemenang pingat perak dari China, Chen Long 21-8, 19-21, 5-21.

Video berkenaan mendapat 10.8 ribu tontonan diikuti 513 tanda suka dan 11 komen selepas ia dimuat naik enam jam lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top